“1-0 Atau 10-0, Menang Tetap Menang” – Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora berpendapat berapa gol dijaringkan pasukannya sama ada menentang lawan kuat atau lemah tidak seharusnya menjadi isu kerana yang penting adalah kemenangan.

JDT menang 2-0 ke atas pasukan Liga Premier Kelantan FC dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia di mana salah satu gol adalah menerusi sepakan penalti.

Mereka kemudian mencatat satu lagi kemenangan, 1-0 ke atas PJ City menerusi jaringan awal permainan oleh Gonzalo Cabrera.

Walaupun sudah meraih enam mata maksima dan dalam landasan terbaik pertahankan kejuaraan, kegagalan barisan serangan JDT menjaringkan lebih banyak gol tetap menjadi tumpuan.

Apatah lagi mereka menghimpunkan pemain-pemain terbaik Liga Malaysia yang rata-ratanya merupakan pemain kebangsaan.

Benjamin Mora menegaskan dia hanya peduli dengan keputusan yang dilakar bukannya jumlah jaringan yang dilakukan.

“Saya sangat berpuas hati. Ia bukan mengenai berapa banyak gol, tetapi sejauh mana pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka dan mengikut taktikal dan disiplin yang telah kami praktikkan di JDT.

“Menang 1-0 adalah sama seperti menang 10-0. Ia hanya perbezaan gol. Kadang-kadang kami kami berjaya menjaringkan banyak gol kadang-kadang tidak. Tapi, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain,” katanya.

Baca : Benjamin Mora Jelaskan Punca JDT Gagal Berpesta Gol Ke Atas Kelantan

Benjamin Mora turut berpendapat cara pasukan lawan bermain dan menyesuaikan diri untuk mengimbangi kekuatan JDT sebagai punca mereka berdepan kesukaran menjaringkan gol.

“Pemain PJ City memberikan tentang sengit, jika pengadil memberikan tambahan 15 minit mereka (pemain PJ City) boleh berlari dengan intensiti yang sama untuk tempoh tersebut. Ia tidak mudah buat kami dan kami tahu mereka datang ke sini untuk mencari tiga mata,” katanya.

Dalam saingan Liga Super, JDT muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol setelah meledak 50 gol, dengan ayam tambatan mereka Bergson da Silva seorang sahaja sudah mengumpul 23 gol.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.