10 pembelian terakhir SAF sebelum tinggalkan United dengan trofi EPL ke-13

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada ragu, Sir Alex Ferguson adalah pengurus paling berjaya dalam arena bolasepak inggeris.

Pengurus dari Scotland itu memenangi 38 trofi sepanjang 26 musim membimbing Manchester United, termasuk 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan dua kali menjulang Liga Juara-Juara Eropah.

Alex Ferguson juga cekap menghidu bakat dan perlu diakui itulah yang banyak membantunya untuk membentuk skuad berkredibiliti disegani saban tahun sehingga musim terakhirnya di Old Trafford pada 2012/2013.

Eric Cantona, Peter Schmeichel, Ruud Van Nistelrooy dan Cristiano Ronaldo hanyalah beberapa daripada 105 nama yang dibawa masuk dan menyumbang kepada pelbagai kejayaan cemerlang, dan kami melihat semula 10 pemain terakhir yang dibeli pada musim terakhir Ferguson membimbing Red Devils, juga kali terakhir pasukan itu menjulang gelaran EPL.

Dan nilai keseluruhan 10 pemain ini hanyalah £115 juta.

#10 Phil Jones 

Jones dibeli dari Blackburn dengan harga £16.5 juta pada Jun 2011. Ketika menandatangani pemain ini, Ferguson menyamakan fizikalnya dengan legenda kelab Duncan Edwards dan meramal dia akan menjadi salah seorang pertahanan tengah terbaik EPL.

10 tahun berlalu, Jones mungkin gagal menepati ramalan menjadi pertahanan terbaik, tetapi dia masih kekal di Manchester United, dengan telah membuat lebih daripada 200 penampilan dan kini bergelut memburu tempat di dalam skuad.

#9 Ashley Young

Pemain sayap lincah yang didapatkan dari Aston Villa dengan harga £17 juta, juga pada Jun 2011. Menjadi antara pemain penting sehingga musim 2018/2019 dengan turut pernah bertindak sebagai kapten pasukan. Pemain versatile yang memainkan peranan dalam beberapa posisi berbeza sepanjang lapan musim di Manchester United sebelum berpindah ke Inter Milan pada awal 2020.

#8 David De Gea

Alex Ferguson pernah terlepas hanya dua perlawanan sepanjang mengendalikan United, pertama kerana urusan keluarga dan yang kedua adalah ketika dia sendiri pergi ke Sepanyol untuk memantau bakat David De Gea.

Penjaga gol ini wajar diakui sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dibeli Ferguson, pada harga £18.9 juta dari Atletico Madrid. Meskipun berdepan naik turun prestasi malah menjadi sasaran kritikan sejak beberapa musim kebelakangan, David De Gea kini mengharungi musim ke-10 bersama kelab itu.

#7 Frederic Veseli

Satu daripada pembelian terakhir yang gagal menyinar di Old Trafford.

Veseli disambar dari musuh setempat Manchester City menerusi perpindahan percuma pada Januari 2012 tetapi pemain Albania ini mendapati sukar untuk memenangi tempat di dalam pasukan dan dilepaskan hanya setahun selepas itu.

#6 Nick Powell

Pemain yang datang ke Manchester United dengan ekspetasi tinggi selepas Ferguson berjaya menewaskan beberapa kelab untuk mendapatkan khidmatnya tetapi pemain ini gagal memecah masuk ke dalam skuad utama dan sekadar membuat tiga penampilan sahaja dalam liga sebelum dilepaskan pada 2016.

#5 Shinji Kagawa 

Kagawa dibeli daripada Dortmund selepas Manchester United gagal mendapatkan khidmat Eden Hazard. Kagawa bukanlah pembelian yang gagal, dia menjadi pemain Jepun pertama menyarung jersi United dan pemain Asia pertama menjaringkan hatrik dalam perlawanan EPL ketika menentang Norwich City.

Dia adalah salah seorang pemain sandaran Ferguson yang memainkan peranan penting dalam memenangi gelaran liga namun gagal memenangi hati David Moyes menyaksikan Kagawa tidak bertahan lama di Old Trafford dan berpindah semula ke Borussia Dortmund selepas hanya dua musim.

#4 Angelo Henriquez

Henriquez masuk ke Manchester United sebagai pemain berusia 18 tahun yang dikatakan berpotensi tinggi selepas mencuri tumpuan meledak 15 gol dalam 28 perlawanan bersam Universidad de Chile tetapi dia ternyata tidak dapat untuk menyesuaikan diri dengan bolasepak England.

Dia tidak membuat walau satupun penampilan dalam skuad utama; dipinjamkan ke Wigan, Real Zaragoza dan Dynamo Zagreb sebelum menyertai kelab itu secara kekal pada 2015.

#3 Robin Van Persie 

Robin Van Persie, pastinya tiada siapa yang akan bangkang jika mengatakan dia menjadi salah seorang pembelian terakhir terbaik oleh Alex Ferguson.

Menjaringkan gol demi gol tanpa sebarang trofi bersama Arsenal, Robin Van Persie memilih menyertai seteru utama dan menimbulkan kemarahan penyokong kelab London itu, tetapi pada penghujung musim ia menjadi keputusan cukup signifikan dalam kariernya.

Bukan sahaja memenangi kasut emas penjaring terbanyak tetapi juga menjulang EPL buat kali pertama, lantas peranannya itu memberikan Ferguson hadiah perpisahan terbaik.

#2 Alexander Buttner

Pernah menonjolkan Dennis Irwin dan Patrice Evra sebagai antara dua bek kiri terbaik Liga Premier, perkara yang sama gagal dilakukan Alex Ferguson kepada Buttner yang dibeli dari Vittese Arnhem dengan harga £4.5 juta. Meskipun datang dengan harapan tinggi, dia kekal sebagai ‘back-up’ kepada Patrice Evra dan bolehlah dikategorikan antara pemain yang gagal dalam jersi Manchester United.

Hanya membuat 13 penampilan liga, termasuklah aksi terakhir kendalian Ferguson menentang West Brom pada musim 2012/2013 yang berkesudahan seri 5-5.

#1 Wilfried Zaha

Pemain terakhir dibeli Alex Ferguson, berjaya mencipta nama sebagai pemain bintang, tetapi sayang ianya bukan dengan United, sebaliknya bersama Crystal Palace.

Sejurus selepas dibeli, Zaha ada membuat 2 penampilan tetapi mendapati dia bukan pilihan David Moyes yang menggantikan Ferguson, dan dipinjamkan semula ke Crystal Palace kemudiannya Cardiff City, sebelum dia berpindah secara kekal ke Crystal Palace pada 2018 seterusnya membina nama sebagai salah seorang pemain sayap terbaik Eropah ketika ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.