10 pembelian terburuk Barcelona di bawah pimpinan Josep Bartomeu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Josep Maria Bartomeu akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Presiden Barcelona FC, selepas enam tahun menerajui kepimpinan pasukan.

Penyokong pasukan Catalan itu pada hakikatnya sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Bartomeu yang dianggap punca kenapa Barcelona berada dalam prestasi buruk.

Barcelona mengakhiri musim lalu tanpa piala dan menutupnya dengan kekalahan 2-8 kepada Bayern Munich di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dia juga dianggap mempunyai masalah dengan kepimpinannya sebagai presiden, selain mempunyai hubungan dingin dengan pemain-pemain berpengaruh, termasuk Lionel Messi.

Bartomeu juga tidak kompeten di pasaran perpindahan. Berikut kami senaraikan 10 perpindahan terburuk pernah dijayakan Bartomeu sepanjang 6 tahun bersama pasukan itu.

#10 Jeremy Mathieu (£19 juta)

Jeremy Mathieu direkrut pada pintu perpindahan sama Barcelona mendapatkan khidmat Marc Andre Ter Stegen dan Luis Suarez pada Julai 2014, sebagai pengganti kepada duo Carles Puyol dan Eric Abidal yang meninggalkan pasukan.

Boleh bermain sebagai pertahanan tengah mahupun pertahanan kiri tetapi ternyata bukan pilihan tepat untuk mengisi kekosongan ditinggalkan dua ikon kelab itu.

Mathieu hanya bertahan tiga musim sebelum berpindah secara percuma ke Sporting Lisbon.

#9 Lucas Digne (£13.8 juta)

Dibawa masuk pada Julai 2016 dengan harapan dapat memberi tentangan kepada bek kiri ketika ini Jordi Alba. Dia membuat 46 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang dua musim di Nou Camp tetapi secara dasarnya dilihat tidak cukup bagus untuk mencabar kesebelasan utama dan dianggap pembelian yang gagal.

Kini Digne dilabel salah seorang pertahanan kiri terbaik dunia dan boleh menggantikan Jordi Alba yang semakin berusia, tapi sayang dia bukan lagi pemain Barcelona, sebaliknya sedang membina nama bersama Everton.

#8 Thomas Vermaelen (£15 juta)

Thomas Vermaelen 10 pembelian terburuk Barcelona di bawah pimpinan Josep Bartomeu

Mimpi ngeri buat Blaugrana. Menikmati 5 musim yang cemerlang bersama Arsenal dan dijangka menjadi pilihan utama merebut tempat di jantung pertahanan Barcelona.

Karier dibelenggu kecederaan menyaksikan dia membuat hanya satu penampilan pada musim sulungnya di Barcelona, itupun beraksi hanya 66 minit pada bulan Mei 2015 – hampir semusim selepas menyertai pasukan – ketika menentang Deportivo.

Dia kemudian sekadar menjadi tidak lebih daripada pelengkap pasukan dan dipinjamkan ke AS Roma, sebelum menyertai kelab Jepun Vissel Kobe.

#7 Andre Gomes (£30.2 juta)

Kehadiran Gomes pada Julai 2016 cukup mengujakan penyokong, dia mencetus sensasi bersama Valencia pada musim terdahulu justeru Bartomeu dianggap telah berurusniaga dengan baik di pasaran perpindahan.

Dia bermula dengan baik pada penampilan sulung, tetapi prestasinya jatuh teruk dan diundi sebagai pembelian terburuk Barcelona musim tersebut. Disusuli 31 penampilan tanpa sebarang jaringan pada musim berikutnya, menyaksikan dia dipinjamkan, dan kemudian dijual kepada Everton.

#6 Martin Braithwaite (£16 juta)

Berikutan kecederaan dialami pemain sayap Ousmane Dembele pada Februari 2020, Barcelona mendapat keistimewaan daripada La Liga untuk menandatangani seorang penyerang di luar pintu perpindahan, mendorong kepada perpindahan kontroversi Braithwaite ke Nou Camp.

Kelab asal pemain itu, Leganes, keberatan untuk melepaskannya tetapi Bartomeu mengaktifkan klausa pelepasan menyaksikan mereka tidak boleh berbuat apa-apa, dan lebih malang Leganes tidak dibenarkan untuk mencari pengganti.

Bermain 11 perlawanan, skor satu gol, kemudiannya Leganes tersingkir dari La Liga, ternyata ia perpindahan yang merugikan semua pihak.

#5 Malcom (£36.5 juta)

Satu lagi perpindahan diselubungi kontroversi berlaku pada Julai 2018. Malcom pada asalnya telah bersetuju menyertai AS Roma dari Bordeaux, dengan penyokong-penyokong Roma sudah menantinya di lapangan terbang untuk menyambut kedatangannya ke kelab itu.

Tetapi boleh pula Bartomeu hijack perpindahan tersebut dan ‘mencuri’ pemain itu pada saat akhir menyebabkan kemarahan penyokong di Itali malah pada satu ketika kelab itu bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Barcelona.

Nak dijadikan cerita, pengurus Barcelona ketika itu Elnesto Valverde tidak begitu suka dengan Malcom malah tidak mahukannya di dalam pasukan. Ini menjejaskan minit permainan pemain itu menyaksikan dia hanya bermain 15 kali sebelum dijual kepada Zenit St Petersburg pada musim seterusnya.

#4 Antoine Griezmann (£108 juta)

Griezmann masih di Barcelona dan masih mempunyai masa untuk membuktikan sesuatu, tetapi tengok pada tag harga bintang Perancis ini, penyokong jelas mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.

Bekas pemain Atletico Madrid ini bergelut untuk memberi justifikasi kepada label salah seorang pemain termahal dunia dan mendapati dirinya tidak dapat menyesuaikan diri dengan formasi 4-3-3 yang menyaksikan kelibatnya diguna di posisi sayap, bukan penyerang tunggal yang merupakan posisi kegemarannya.

#3 Ousmane Dembele (£135.5 juta)

Dembele berkongsi kedudukan sebagai pemain kedua termahal dunia susulan perpindahan dari Borussia Dortmund dan diberikan jersi no.11 yang sebelumnya dipakai oleh Neymar.

Penampilan sulung sudah menyaksikannya mengalami kecederaan harmstring dan tersisih empat bulan. Hanya pada musim kedua dia nampak lebih menyumbang kepada pasukan tetapi prestasi tidak konsisten bermakna, dia tidak dapat lari daripada kritikan.

Menjadikan situasi bertambah buruk, dia mengalami satu lagi kecederaan harmstring musim lalu dan hanya kembali ketika penghujung musim.

#2 Arda Turan (£24 juta)

Turan menyertai Barcelona pada musim panas 2015 tetapi sekatan di pintu perpindahan yang dikenakan ke atas kelab itu bermakna dia perlu menunggu lebih lama untuk membuat penampilan.

Selepas penantian panjang, dia diturunkan, tetapi prestasinya gagal untuk memikat sesiapa. Pada hakikatnya, Turan dikatakan dibeli bukanlah sebab prestasi atas padang, sebaliknya bagi menjaga hubungan baik kelab itu dengan penaja mereka dari Turki.

Sepertimana Malcom, Turan tidak pernah berada dalam perancangan pengurus. Dia mengharungi tiga musim penuh kontroversi termasuk dikritik penyokong sendiri atas pelbagai sebab, dan telah kembali ke Turki pada awal musim ini.

#1 Philippe Coutinho (£142 juta)

Coutinho (gambar utama) pada mulanya dilihat sebagai direct replacement kepada Neymar yang menyertai Paris Saint Germain.

Tetapi kecemerlangan ditunjukkan di Liverpool gagal diulangi di Barcelona dan jauh daripada menepati ekspetasi tinggi Bartomeu.

Dia dipinjamkan ke Bayern Munich dan apa yang menarik dia menjadi salah seorang pemain penting di kelab Jerman itu malah lebih daripada itu menjaringkan dua gol dalam aksi suku akhir Liga Juara Eropah ketika menewaskan Barcelona 8-2.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.