10 Perkara Menarik Liga Super 2021

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Saingan Liga Super 2021 telah melabuhkan tirainya pada 12 September lalu dan ini 10 perkara menarik telah dapat disaksikan sepanjang saingan tahun ini yang menyaksikan JDT merangkul kejuaraan kelapan berturut-turut.

1. Gol Terpantas Liga Super & Pemain Pertahanan Pertama Skor Hatrik

Pemain pertahanan Penang FC Rafael Victor memecahkan rekod gol terpantas dalam sejarah Liga Super apabila hanya mengambil 9 saat untuk menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Perak FC pada 3 Ogos.

Jaringan pemain dari Brazil itu mengatasi rekod terdahulu 12 saat yang dilakukan Ahmad Fakri Saarani ketika bersama Kelantan pada 2015.

Dalam perlawanan yang sama itu, Rafael Vitor memahat satu lagi sejarah apabila muncul pemain pertahanan pertama untuk menjaringkan hatrik. Dia menambah dua lagi jaringan pada minit ke-8 dan 28 untuk membantu Penang FC menang 5-3.

2. Gol Tangan Tuhan & Penjaring Gol Tertua Liga Malaysia

Pemain veteran Shukor Adan memahat nama sebagai penjaring gol tertua saingan Liga Malaysia – mengatasi rekod dipegang Amri Yahyah – apabila menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Uitm FC pada 13 Mei.

Namun sejarah itu dicipta dalam gaya penuh kontroversi apabila dia dilihat menggunakan tangan (tangan tuhan) untuk menolak masuk hantaran sepakan percuma rakan sepasukan pada masa kecederaan, menyaksikannya digelar Shukordona. Baca : Gol Tangan Tuhan Bawa Nama Shukor Adan Ke Dalam Buku Sejarah

3. Ifedayo Si Mesin Gol Leburkan Rekod Penjaring Gol Terbanyak Semusim

Ayam tambatan Selangor Ifedayo Olusegun muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 25 gol, dan jumlah itu merupakan jumlah jaringan tertinggi pernah direkodkan seorang pemain dalam semusim, mengatasi rekod dipegang Mohamed Ghaddar.

Mesin gol Selangor itu tampil cukup klinikal di depan gol dengan menjaringkan empat kali hatrik dan meledak dalam 15 daripada 22 perlawanan. Dia juga menjaringkan gol menentang 10 pasukan, hanya Kuala Lumpur pasukan yang gagal ditembusinya.

4. Kebal Di Gelanggang Sendiri

KL City menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas dalam 11 perlawanan di tempat sendiri musim ini. Skuad bimbingan Bojan Hodak yang mengakhiri saingan di kedudukan keenam mencatat tujuh kemenangan dan empat keputusan seri di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Rekod itu juga merupakan rekod terbaik skuad warga kota di laman sendiri sejak tahun 1988.

5. Tersingkir Buat Kali Pertama

Perak FC yang memegang rekod mengagumkan sebagai pasukan paling lama beraksi di Liga Super dan tidak pernah tersingkir ke divisyen kedua, tersingkir buat kali pertama selepas menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot dengan hanya 16 mata.

Lebih malang, sejarah itu tercipta ketika mereka meraikan ulangtahun ke-100 penubuhan pasukan.

6. Farizal Marlias Yang Kebal

Farizal Marlias merekodkan 14 clean sheet, yang tertinggi dalam saingan musim ini tatkala dia menjadi antara tunjang utama JDT mempertahankan kejuaraan.

Penjaga gol kebangsaan itu hanya melepaskan sembilan gol, menyamai pencapaian dilakukan pada 2018.

7. Yakini Lokal Yang Berjaya

Tiada import tiada masalah! PJ City menjadi satu-satunya pasukan yang membariskan sepenuhnya tenaga tempatan dan membuktikan mereka boleh ‘hidup’ tanpa import tatkala pasukan bimbingan P.Maniam itu menamatkan musim di tangga ketujuh.

Pasukan-pasukan seperti Melaka United, Sri Pahang, Sabah FC dan Perak FC yang diketahui menggunakan ramai pemain import juga menamatkan musim di bawah mereka.

8. Arif Aiman Penjaring Gol Termuda

Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi mencetak nama selaku penjaring termuda dalam sejarah Liga Super apabila menjaringkan gol dalam aksi ketiga ketika menewaskan Uitm 4-0.

Arif Aiman berusia 18 tahun 10 bulan ketika meledak jaringan itu pada 13 Mac, mengatasi rekod yang sebelumnya dipegang oleh Hadin Azman. (18 tahun 11 bulan).

9. Konsisten Di Sebalik Jadual Super Duper Padat

Kedah Darul Aman FC pada satu ketika tergelincir ke tangga kelima berikutan perlawanan membabitkan mereka terpaksa ditunda, dan apabila dijadualkan semula, skuad Aidil Sharin itu terpaksa bermain sembilan perlawanan dalam tempoh 30 hari.

Selain kepenatan mengharungi jadual padat, mereka berdepan masalah kecederaan dan juga kehilangan pemain utama akibat jadual perlawanan antarabangsa, namun penggiliran pemain yang bijak membantu pasukan itu untuk tetap tampil konsisten dan menamatkan musim di tempat kedua, seterusnya menyambar slot ke Piala AFC.

10. JDT Tidak Cicirkan Mata Pada Pusingan Kedua

JDT muncul juara kali kelapan, tapi bukan itu ceritanya yang mahu disebut. Sebaliknya pasukan Benjamin Mora itu walaupun goyah pada mulanya apabila mencicirkan sembilan mata di pusingan pertama, mengakhiri saingan dengan mencatat 11 kemenangan berturut-turut iaitu menang kesemua perlawanan di pusingan kedua dan langsung tidak mencicirkan mata.

Rujukan : NST Sports

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.