PJ City tewas kepada Sabah dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada Selasa.
Walaupun mendahului menerusi jaringan Darren Lok, skuad the phoenix terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 setelah Sabah bangkit menerusi jaringan Taiki Kagayama dan Irfan Fazail.
Sedar tak sedar, kekalahan terbaru ini, menyaksikan rekod tanpa kemenangan pasukan kendalian P.Maniam kini melebar kepada 10 perlawanan.
Sejak menang bergaya ke atas Terengganu menerusi hatrik Darren Lok, PJ City tidak pernah merasai nikmat kemenangan, seri lima kali dan tewas lima kali termasuklah tersingkir dari saingan Piala FA.
Malah, secara keseluruhan dalam saingan Liga Super setakat ini, PJ City hanya mencatat dua kemenangan.
P.Maniam pernah memberitahu pasukannya bermain baik, boleh mengawal permainan tetapi tidak menyudahkan peluang, jadi adakah ini membuktikan bahawa pasukan itu yang mempertaruhkan sepenuhnya kudrat pemain tempatan, memerlukan pemain import untuk mencabar pasukan lain dengan lebih serius?
Pemain versatile pasukan itu, Mahali Jasuli berpendapat ia lebih kepada kesilapan individu dan bukannya kerana ketiadaan pemain import.
“Saya rasa ketiadaan pemain import bukanlah isu yang sangat besar kerana kami telah berada dalam situasi ini (tanpa import) selama setahun lebih.
“Apa yang saya nampak pada beberapa perlawanan sebelum ini adalah banyak kesilapan individu di bahagian pertahanan dan sebagainya yang menyebabkan kegagalan mencapai kemenangan.”
Kali terakhir PJ City menggunakan sentuhan pemain import adalah pada musim 2020 di mana ketika itu mereka mempertaruhkan dua pemain Brazil, Elizeu dan Washington Brandao serta Demba Camara (Guinea); Kim Bong-jin (Korea Selatan) dan Anawin Jujeen (Thailand).
Sementara itu, Mahali Jasuli menyambut baik perubahan struktur liga yang disifatkannya akan menguntunkan pemain tempatan yang memburu minit permainan.
“Bagi saya, perubahan liga adalah peluang yang baik untuk para pemain mendapatkan lebih minit permainan. Setiap pasukan akan sentiasa melakukan rotasi kerana tidak semua pemain boleh bermain sepanjang 34 perlawanan,” ujarnya.