10 Tahun Selepas Tewas Di Tangan Zulfadli, Viktor Axelsen Sudah ‘Tapau’ Semua Kejuaraan Besar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaguh badminton Denmark yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen menutup tahun 2021 dengan penuh gemilang setelah muncul juara BWF World Tour Final di Bali, Indonesia.

Vitor Axelsen bergelar juara pusingan akhir buat kali pertama dengan menewaskan pemain bukan pilihan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 21-12, 21-8 dalam aksi final – kemenangan yang sekaligus melengkapkan koleksi kejuaraan besar dalam kariernya.

BWF World Tour diperkenalkan bermula 2018 dan Axelsen pernah mara ke pusingan final pada tahun 2020 namun ketika itu tewas kepada Anders Astonsen.

Mengimbau 10 tahun lalu iaitu pada 2011, Viktor Axelsen tewas dalam aksi final Kejuaraan Remaja Dunia BWF di tangan pemain muda negara Zulfadli Zulkifli.

Tatkala karier Zulfadli sudahpun berkubur kerana terlibat dengan bookie, siapa sangka Viktor Axelsen akan menapak perlahan-lahan dan akhirnya sampai ke tahap ini untuk mengenggam kesemua kejuaraan besar yang dipertandingkan.

Berita Berkaitan : Zulfadli Zulkifli, Juara Remaja Dunia Yang Binasa Kerana Bookie

Julai lalu, Viktor Axelsen menewaskan Chen Long dalam aksi final di Tokyo untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik buat pertama kali – ia juga menoktahkan penantian 25 tahun Denmark untuk memenangi emas acara perseorangan di temasya sukan terbesar dunia itu.

Sebagai rekod, dia juga pernah bergelar juara dunia setelah mengungguli Kejuaraan Badminton Dunia BWF pada 2017 di Glasgow dengan menewaskan Lin Dan; dua kali memenangi Kejuaraan Eropah pada 2016 dan 2018; serta memenangi gelaran berprestij All England pada 2020.

Secara keseluruhan Viktor Axelsen telah memenangi 11 kejuaraan dalam BWF World Tour, termasuk kejuaraan Terbuka Denmark yang dimenanginya buat pertama kali pada Oktober lalu dengan menewaskan Kento Momota dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.

Dia juga mengenggam empat gelaran BWF SuperSeries.

Bersama negaranya Denmark pula, Viktor Axelsen pernah menjulang Piala Thomas 2016; empat kali juara Kejohanan Berpasukan Campuran Eropah; dan lima kali juara Kejohanan Berpasukan Lelaki Eropah.

Pada usianya yang kini 27 tahun, sudah tentunya banyak lagi pencapaian hebat dan gelaran-gelaran yang masih boleh dimenangi pemain ini yang sedang berada pada kemuncak prestasi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.