11 pemain pertama dibeli Chelsea di era Roman Abramovich

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kira-kira 17 tahun lalu, Roman Abramovich membeli Chelsea dan kehadiran billionaire dari Russia itu merubah landskap bolasepak inggeris sepenuhnya.

Dengan kuasa wang dimiliki, dia menyelesaikan semua hutang-piutang kelab, berbelanja mewah di pasaran perpindahan dan mentransformasikan The Blues sebagai salah satu pasukan gergasi bolasepak – bukan sahaja di England tetapi juga di Eropah.

Lima gelaran Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA, dua kali menjulang Piala Liga, sekali menjulang Liga Juara Eropah dan dua kali memenangi Europa League – tiada kelab inggeris lain yang memenangi trofi lebih banyak daripada Chelsea dalam tempoh 17 tahun ini – termasuk Manchester United.

Skuad the blues ketika ini memiliki antara pemain-pemain termahal dalam pasaran bolasepak dunia seperti Kai Havertz, Timo Werner, Christian Pulisic, Jorginho, Kepa Arizabalaga, Ben Chilwell dan Mateo Kovacic tatkala perbelanjaan di pasaran perpindahan yang paling terbaru adalah £253 juta.

Ia adalah jumlah paling tinggi pernah dibelanjakan mana-mana kelab inggeris di pasaran perpindahan, dan lebih daripada 100 peratus berbanding £120 juta dibelanjakan pada tahun pertama Roman Abramovich mengambil alih kelab utara London itu.

Mari kita mengenali 11 pemain pertama dibeli Chelsea ketika Roman Abramovich ‘pump’ duit buat kali pertama selepas membeli saham kelab dari Ken Bates pada Jun 2003.

 

#1 Glen Johnson (£6 juta)

Pemain pertama dibeli di bawah legasi Abramovich. Chelsea membayar £6 juta kepada West Ham untuk pemain berusia 18 tahun ini yang pada hakikatnya gagal untuk menjadi pemain pilihan utama di posisi bek kanan. Dia membuat 71 penampilan dalam tiga musim sebelum berpindah ke Portsmouth.

 

#2 Geremi (£7 juta)

Pemain versatile dari Cameroon yang merupakan pemenang Liga Juara Eropah bersama Real Madrid ini menyerlah ketika bermain untuk Middlesbrough secara pinjaman pada musim sebelumnya dan menyertai Chelsea dengan bayaran £7 juta.

Mengharungi empat musim yang gemilang dengan lebih 100 penampilan, dan menjadi tonggak menghadiahkan kejuaraan liga pertama buat Chelsea dalam 50 tahun.

 

#3 Wayne Bridge (£7 juta)

Pemain bek kiri berusia 23 tahun ini dibawa masuk dari Southampton bagi menggantikan Graeme Le Saux.

Bridge menjadi salah seorang tonggak penting Chelsea di mana dia membuat lebih 50 penampilan dalam semua pertandingan pada musim pertama dan menjulang EPL pada musim kedua, sebelum kehilangan tempat kepada Ashley Cole.

 

#4 Damien Duff (£17 juta)

Pembelian termahal musim pertama Abramovich – £17 juta dibayar kepada Blackburn untuk pemain sayap kiri dari Ireland ini.

Duff tidak mengecewakan, memainkan peranan penting, menjadi salah seorang tonggak utama dalam tiga musim bersama kelab dengan 125 penampilan dan meninggalkan pasukan dengan memenangi dua gelaran liga.

Damien Duff Chelsea 11 pemain pertama dibeli Chelsea di era Roman Abramovich

 

#5 Joe Cole (£6.6 juta)

Tersingkirnya West Ham ke Liga Kejuaraan membuka laluan kepada Chelsea mendapatkan salah seorang bintang utama The Hammers, Joe Cole pada harga £6.6 juta.

Pada harga itu, Cole boleh dikatakan satu daripada pembelian pertama terbaik Abramovich, dia bermain tujuh musim di Stamford Bridge dan memenangi tujuh trofi termasuk tiga gelaran EPL selain dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Chelsea 2006/2007.

Pada tahun terakhirnya bersama kelab, dia menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Manchester United yang kemudiannya menjadi perlawanan penentu kejuaraan musim tersebut.

 

#6 Juan Sebastian Veron (£15 juta)

Veron baru sahaja memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United ketika disambar oleh Chelsea.

Begitupun karier dihimpit kecederaan menyaksikan pemain itu menjadi antara pembelian yang tidak berbaloi, membuat hanya 14 penampilan dalam semua pertandingan sebelum meninggalkan pasukan pada penghujung musim.

 

#7 Adrian Mutu (£15.8 juta)

Pemain Romania ini dibeli dari Parma dengan kontrak lima tahun dan karier di Chelsea bermula dengan baik buatnya, dia menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan pertama tetapi bergelut untuk meneruskan sentuhan jaringan selepas itu.

Hubungan buruk dengan Jose Mourinho pada musim berikutnya tidak membantu pemain itu untuk mendapatkan semula sentuhan, malah dia kemudiannya digantung pula selama tujuh bulan kerana positif kokain yang sekaligus mengakhiri kariernya di kelab itu.

 

#8 Alexey Smertin (£3.45 juta)

Pembelian yang tidak tahu apa motif, mungkin kerana dia adalah orang Russia?

Sebaik dibeli dari Bordeaux, dia terus dipinjamkan ke Portsmouth dan kemudiannya Charlton Athletic. Bersama Chelsea, dia beraksi hanya 16 kali.

 

#9 Hernan Crespo (£16.8 juta)

Pemain paling berprofil tinggi pada musim panas itu. Bintang Argentina ini cemerlang di Serie A bersama Parma, Lazio dan Inter Milan, dianggap salah seorang penyerang terbaik di Eropah ketika itu.

Dia beraksi semusim di EPL sebelum dipinjamkan ke AC Milan pada musim berikutnya, kemudian kembali ke Chelsea dan membantu mereka mempertahankan gelaran EPL.

 

#10 Neil Sullivan (£500,000) 

Dibawa masuk sebagai penjaga gol ketiga kelab. Chelsea pada hakikatnya sudah ada dua penjaga gol sebelum itu iaitu Carlo Cudicini (penjaga gol utama) serta Marco Ambrossio yang masuk pada hari sama Roman Abramovich membeli kelab.

Sullivan dibeli dari Spurs dan membuat lapan penampilan pada musim itu.

 

#11 Claude Makelele (£16 juta) 

Pemain ke-11 dan tanpa ragu inilah pembelian terbaik musim pertama Roman Abramovich. Menjadi tonggak instrumental, dan dianggap bateri kepada enjin tengah pasukan selama lima musim malah ada posisi dinamakan sempena namanya – ya, begitu hebatnya pemain Perancis ini.

Membuat lebih 200 penampilan dan menjulang lima trofi termasuk dua EPL sebelum berpindah ke Paris Saint Germain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.