11 pemain yang menang EPL dengan dua kelab berbeza

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Liga Perdana Inggeris disifatkan liga terbaik dan paling kompetitif di dunia.

Ryan Giggs memegang rekod sebagai pemain paling berjaya, menjulang EPL sebanyak 13 kali sejak 1992/93, diikuti Paul Scholes sebanyak 11 kali – kesemuanya dilakukan bersama satu pasukan iaitu Manchester United.

Dalam sejarah EPL, hanya 11 pemain sahaja yang pernah bergelar juara bersama dua pasukan berbeza, jom tengok siapa pemain luar biasa itu.

Henning Berg (Blackburn Rovers dan Manchester United)

Pemain pertama untuk melakukannya adalah pertahanan dari Norway ini yang dibeli oleh Kenny Dalglish pada 1993.

Berg menjulang EPL buat kali pertama pada musim keduanya di Blackburn, apabila mereka muncul juara dengan kelebihan tipis satu mata mengatasi United pada 1994/1995.

Berg kemudian dibeli Alex Ferguson pada 1997 dan bermain dengan Red Devils selama tiga musim, dan memenangi EPL dua kali dalam tempoh itu.

Nicolas Anelka (Arsenal dan Chelsea)

Dibeli Arsene Wenger dengan harga hanya £500,000 dari PSG pada 1997/98 dan memecah masuk ke dalam skuad utama menggantikan Ian Wright yang cedera.

Anelka membawa impak segera dan menjadi salah seorang tonggak yang membantu Arsenal muncul juara pada musim itu, dan 12 tahun kemudian dia mengulanginya bersama Chelsea pada musim 2009/2010.

Ashley Cole (Arsenal dan Chelsea)

Ashley Cole Arsenal invincibles 11 pemain yang menang EPL dengan dua kelab berbeza

Pemain yang dilabel pertahanan kiri terbaik England di era bolasepak moden.

Cole merupakan produk Akademi Arsenal, meraih peluangnya di dalam skuad utama berikutan kecederaan Sylvinho. Dia menjulang EPL dua kali bersama Arsenal pada 2001/02 dan musim invincibles 2003/04.

Dia kemudian menyertai skuad berbelanja besar Chelsea selepas saga perpindahan yang panjang, dan menjulang EPL kali ketiga pada 2009/2010.

Gael Clichy (Arsenal dan Manchester City)

Clichy dibawa masuk dari Cannes pada 2003 dan bertindak sebagai back-up kepada Ashley Cole. Dia baru berusia 18 tahun 294 hari ketika Arsenal memenangi liga pada 2003/04 sekaligus menjadi pemain termuda untuk menjulang EPL.

Clichy berpindah ke City pada 2011 dengan nilai perpindahan £7 juta, berjaya menjadi pilihan utama di bek kiri mengetepikan Alexandr Kolarov dan memenangi EPL kedua dalam kariernya dengan penuh dramatik pada hari terakhir musim.

Carlos Tevez (Manchester United dan Manchester City)

Carlos Tevez 11 pemain yang menang EPL dengan dua kelab berbeza

Tiada yang lebih ‘gengster’ daripada memenangi kejuaraan bersama dua musuh setempat, dan ia dilakukan oleh Tevez.

Pada musim pertamanya bersama United pada 2007/08, Tevez menjaringkan 14 gol dalam 34 perlawanan untuk membantu pasukan itu menjulang EPL kali ke-10 dan turut merupakan anggota skuad yang mempertahankan kejuaraan pada musim berikutnya sebelum berpindah ke pasukan jiran, City.

Dia memenangi EPL ketiga pada musim keduanya di City, kejuaraan yang disahkan penuh dramatik menerusi gol kemenangan masa kecederaan Sergio Aguero pada perlawanan terakhir musim 2011/12.

Kolo Toure (Arsenal dan Manchester City)

Seorang lagi pemain dari skuad juara 2003/04, Toure yang dibeli dengan harga sangat murah £150,000 dari ASEC Mimosas bermula sebagai defensive midfielder sebelum beralih ke pertahanan dan merupakan tonggak utama musim invincibles Arsenal.

Disambar City pada 2009 dan pantas diberi peranan sebagai kapten, namun memenangi EPL hanya pada musim terakhirnya di kelab itu. Walaupun cuma bermain 14 perlawanan, dia tetap layak untuk menerima medal kejuaraan.

Mark Schwarzer (Chelsea dan Leicester City)

Jika ditanya siapa pemain menang EPL dengan dua kelab berbeza tanpa bermain satu pun perlawanan, inilah orangnya.

Schwarzer merupakan back-up kepada Petr Cech pada musim 2014/15 yang mana Chelsea muncul juara buat kali keempat. Walaupun mencatat kosong minit permainan, Jose Mourinho mendapatkan Schwarzer  medal kejuaraan disebabkan pengaruh besarnya di bilik persalinan.

Musim berikutnya dia menyertai pula Leicester City, kali ini back-up kepada Kasper Schmeichel. Sekali lagi dia tetap memenangi medal kejuaraan walaupun mencatat kosong minit permainan.

Robert Huth (Chelsea dan Leicester City)

Leicester City 11 pemain yang menang EPL dengan dua kelab berbeza

Pertahanan Jerman ini merupakan anggota skuad Chelsea yang muncul juara dua kali berturut-turut pada 2004/05 dan 2005/06 tetapi ketika itu dia tidak memainkan peranan besar berikutan gagal untuk menjadi pilihan utama di benteng.

Kisah berbeza apabila dia menjulang EPL bersama Leicester City, dia adalah tonggak utama yang bermain dalam 35 perlawanan.

N’golo Kante (Leicester City dan Chelsea)

Kante memainkan peranan cukup besar dalam membantu Leicester melakar kejutan sensasi muncul juara pada 2015/2016 dan disebabkan itu Chelsea membayar £32 juta untuk memancingnya ke Stamford Bridge pada musim berikutnya.

Pemain Perancis itu meneruskan aksi cemerlang untuk membantu Chelsea mengesahkan kejuaraan EPL kelima mereka, sekaligus menjadi pemain kedua memenangi EPL dua musim berturut-turut bersama dua kelab berbeza.

Riyad Mahrez (Leicester City dan Manchester City)

Mahrez menjadi seorang lagi pemain penting dalam laluan Leicester City melakar sejarah menjuarai EPL pertama kali, sehingga menyaksikannya dicalonkan untuk Anugerah Ballon d’Or.

Manchester City memancingnya dengan harga £60 juta dua musim selepas itu, menjadikannya pemain Afrika termahal dunia, dan ia perpindahan berbaloi buatnya apabila dia memenangi EPL kali kedua pada musim pertamanya di kelab itu.

James Milner (Manchester City dan Liverpool)

Milner menjadi pemain terbaru masuk ke dalam senarai ini selepas membantu Liverpool melakar sejarah menjuarai EPL pertama kali sekaligus menoktahkan penantian 30 tahun.

Dia sebelum itu menjulang EPL dua kali bersama Manchester City pada musim 2011/12 dan 2013/14.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.