£13.5 juta sahaja harga Luiz Suarez, berbaris kelab nak sambar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ronald Koeman sedang dalam proses pembersihan besar-besaran pasukan Barcelona, dengan dia dikatakan hanya mahu mengekalkan tujuh pemain sahaja.

Koeman tidak memberitahu pemain mana akan disingkir atau dijual, tetapi menurut Presiden Barcelona Joseph Bartomeu dalam satu kenyataan hanya kedudukan Lionel Messi, Ter Stegen, Clement Lenglet, Nelson Semedo, Frenkie De Jong, Antoine Griezman dan Ousmane Dembele sahaja terselamat.

Ini bermakna kelab La Liga itu sudah bersedia melepaskan beberapa nama besar termasuk Gerard Pique, Luiz Suarez, Arturo Vidal dan Sergio Busquets.

“Masanya telah tiba untuk beberapa pemain meninggalkan pasukan, akan ada pengganti dan ketua baru di atas padang untuk terus memacu pasukan.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain ini kerana menjadikan kita kelab terbaik dunia, tapi tiba masanya, ada pemain senior yang akan kita jual tetapi sudah tentu mereka akan meninggalkan pasukan dengan penghargaan tertinggi dari pasukan,” kata Bartomeu.

Apa yang menarik, sebaik sahaja mendengar nama Luiz Suarez tiada dalam senarai untuk dikekalkan, beberapa kelab besar telahpun menunjukkan minat untuk memancing bekas penyerang Liverpool itu.

Antaranya Juventus, Inter Milan, Paris St Germain, bekas kelabnya Ajax Armterdam serta kelab milik David Beckham, Inter Miami.

Ajax antara yang pantas bertindak dengan Barcelona dikatakan sedia mempertimbangkan tawaran £13.5 juta untuk pemain berusia 33 tahun itu.

Namun seperkara yang mungkin menjadi kekangan adalah gaji tinggi sekitar £400,000 seminggu yang mana memberi kelebihan kepada kelab gergasi untuk mendapatkannya.

Sebagai rekod, Luiz Suarez mencipta nama bersama Ajax ketika dia mewakili kelab Belanda itu pada 2007-11, menjaringkan 111 gol sebelum berhijrah ke Liverpool dan kini mungkin akan kembali beraksi di Eredivisie.

KALAH 8-2 JADI PUNCA

Salah satu punca utama pembersihan besar-besaran di Nou Camp ini adalah kerana kekalahan mengaibkan 8-2 di tangan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara minggu lalu yang merupakan kekalahan terbesar dalam sejarah Barcelona.

Menurut Koeman, “Apa perlu kita buat adalah memberi imej berbeza berbanding apa yang disaksikan ketika menentang Bayern, ia bukan Barca yang penyokong mahu lihat.

“Anda perlu sangat gembira untuk menyarung jersi Barcelona. Anda perlu tunjukkannya menerusi komitmen, profesionalisma, dengan apa sahaja yang ada dalam diri.

“Jika anda melakukannya, imej pasukan akan sepenuhnya berbeza dan itu yang kita mahu lihat.”

Foto : Zimbio

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.