15 pemain berprofil tinggi yang tidak pernah sekalipun menjulang Liga Juara-Juara Eropah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Memenangi Liga Juara-Juara Eropah boleh dikatakan pelengkap gemilang seseorang pemain tetapi tidak semua pemain bertuah untuk menjulang trofi tersebut meskipun mereka merupakan nama besar dalam bolasepak dunia, malah mengharungi karier yang cemerlang bersama pasukan kelab mereka di pentas domestik.

Labola Malaya menyenaraikan antara 15 pemain berprofil tinggi yang tidak pernah mendakap piala itu walaupun sekali.

Gianluigi Buffon 

Satu-satunya penjaga gol yang pernah dinobatkan Penjaga Gol Terbaik UEFA, Buffon tidak bernasib baik tewas dalam tiga aksi final Liga Juara-Juara Eropah bersama Juventus, terbaru pada 2016/2017.

Peluang terbaik buatnya hadir pada tahun 2002/2003, apabila dia menyelamatkan dua sepakan penalti ketika penentuan menentang AC Milan di Old Trafford, sekadar untuk kecewa menyaksikan Juventus sendiri gagal menyudahkan tiga sepakan milik mereka.

Bekas pemenang Piala Dunia itu mengakui kegagalan menjulang Liga Juara-Juara Eropah itu adalah sebab mengapa dia masih bermain meskipun sudah berusia 43 tahun pada tahun ini, dan berkemungkinan 2021 menjadi peluang terakhir untuk dia merealisasikan impian tersebut.

Lilian Thuram 

Seorang lagi pemain yang tewas dalam aksi final pada 2002/2003 bersama Juventus. Thuram merupakan salah seorang pertahanan paling konsisten di Eropah pada zamannya meliputi perjalanan karier bersama Parma, Monaco, Juventus dan Barcelona.

Pencapaian terbesarnya adalah memenangi Piala Dunia 1998 bersama Perancis, dengan dia sendiri menjadi wira di separuh akhir menerusi dua gol ketika menewaskan Croatia.

Pemain Terbaik Tahunan Perancis 1997 ini mungkin merasai nikmat bergelar juara pada 2009 jika dia tidak membuat keputusan bersara selepas berakhir musim 2007/2008.

Fabio Cannavaro 

Salah seorang pertahanan terulung pernah disaksikan dunia, kapten skuad juara dunia Itali pada 2006 dan Pemain Terbaik Dunia pada tahun yang sama.

Walaupun pernah menjulang Piala UEFA bersama Parma, dia tidak dapat mengecap kejayaan sama di pentas Liga Juara Eropah di sebalik mewarnai arena bolasepak lebih 20 tahun.

Cannavaro merupakan salah seorang anggota skuad Inter Milan yang tewas kepada musuh tradisi AC Milan pada separuh akhir 2002/2003 – tewas dengan kejam menerusi peraturan gol tempat lawan meskipun kedua-dua perlawanan berlangsung di San Siro.

Bersama Real Madrid, Cannavaro gagal membantu pasukan itu melepasi halangan pusingan kedua untuk tiga musim berturut-turut.

Laurent Blanc

Paling jauh pemenang Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 ini pergi dalam Liga Juara Eropah adalah separuh akhir pada 2001/2002 bersama kelab terakhir yang diwakilinya, Manchester United.

Dia mungkin beranggapan dapat menutup karier gemilang 20 tahun dengan menambah trofi Liga Juara Eropah dalam koleksi kejuaraan, tetapi malangnya turut menjadi salah satu punca tersingkirnya United selepas tewas kepada Bayer Leverkusen menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Pada tahun berikutnya, langkahan United sekadar peringkat suku akhir, tewas kepada Real Madrid.

Gianluca Zambrotta

Zambrotta cuba mengubat kegagalan menjulang trofi itu bersama Juventus, apabila menyertai Barcelona pada awal musim 2006/2007.

Barcelona masih segar dengan kejayaan memenangi UCL dengan menewaskan Arsenal pada musim terdahulu tetapi malang buat Zambrota sepanjang dua musim dia dengan kelab Catalan itu, pencapaian terbaik adalah separuh akhir.

Selepas dia keluar, boleh pula Barcelona muncul juara pada musim 2008/2009 manakala kelab barunya AC Milan yang dianggap gergasi Eropah ketika itu tiba-tiba mengalami kejatuhan.

Michael Ballack

Pernah menjulang treble bersama Bayern Munich dan tiga kali dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Jerman, tetapi, dua kali pemain ini kecewa dan sekadar berpuas hati sebagai naib juara di pentas Liga Juara Eropah.

Pertamanya bersama Bayer Leverkusen pada 2001/2002, mereka menewaskan Manchester United untuk ke perlawanan akhir tetapi dikecewakan Real Madrid.

Manakala kali kedua adalah pada musim 2007/2008 apabila Chelsea kecundang dalam aksi final kepada Manchester United.

Lothar Matthaus 

https://www.youtube.com/watch?v=CpBHjXrS4JQ

Hanya dua minit memisahkan legenda Jerman ini daripada merangkul Liga Juara Eropah pertama dalam kariernya, apabila Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer menjadi pemusnah menerusi dua gol masa kecederaan.

Ya, Mathaus adalah anggota skuad Bayern Munich yang tewas dramatik 1-2 pada final 1998/1999 itu, dan hakikatnya ia adalah kali kedua dia kecewa dengan cara sama. Pada 1986/1987, Bayern tewas aksi final kepada Porto menerusi dua jaringan lewat permainan.

Patrick Vieira

Walaupun berjaya memahat nama sebagai midfield maestro sepanjang sembilan musim di Arsenal; empat musim di Inter Milan; serta semusim di Juventus dan Manchester City, pemenang Piala Dunia 1998 ini tidak mempunyai momen untuk dibanggakan dalam saingan UCL.

Inter Milan bagaimanapun muncul juara pada musim 2010/2011 iaitu semusim selepas Vieira meninggalkan pasukan itu untuk bermain dengan Manchester City.

Pavel Nedved

Perancang kreatif dari Republik Czech ini melakukan sesuatu yang luar biasa sepanjang lima musim di Juventus, mengisi tempat ditinggalkan Zinedine Zidane dengan cukup sempurna.

Dia menjaringkan gol yang menyingkirkan Zidane dan pasukannya di separuh akhir 2002/2003 tetapi terlepas aksi final menentang AC Milan kerana penggantungan. Ketiadaan kreativitinya menyaksikan Juventus tidak dapat mencari jalan menembusi kekebalan Milan, dan akhirnya tewas menerusi penentuan penalti.

Francesco Totti

Golden Boy Itali, pemenang Piala Dunia 2006, Pemain Terbaik Tahunan Serie A sebanyak lima kali yang menghabiskan keseluruhan kariernya bersama AS Roma, dan itu sudah cukup menceritakan kenapa dia tidak pernah memenangi Liga Juara Eropah.

Ronaldo

https://www.youtube.com/watch?v=xHhR989xzLA

Anda kena percaya, Ronaldo the fenomeno antara nama besar yang tidak pernah memenangi Liga Juara Eropah, naib juara pun tak pernah di sebalik pernah bermain dengan lima bekas juara yang juga gergasi Eropah ketika zamannya iaitu PSV Eindhoven, Barcelona, Inter Milan, Real Madrid dan AC Milan.

Di sebalik kegagalan itu, penyokong tidak akan sesekali lupa hatrik sensasinya di Old Trafford yang membantu Real Madrid menyingkirkan Manchester United di suku akhir 2002/2003.

Dennis Bergkamp

Bila bola berada di kakinya, keajaiban berlaku, itulah Bergkamp the non-flying dutchman, gelaran yang diberi kepadanya kerana takut untuk menaiki kapal terbang.

Bergkamp membina karier bersama Ajax Armsterdam, tetapi ketika pasukan itu memenangi Liga Juara Eropah 1994/1995 dia sudahpun menyertai Inter Milan dengan pencapaian terbaik memenangi Piala UEFA. Dia begitu hampir melakukannya pada penghujung karier tetapi malangnya Arsenal dikecewakan Barcelona dalam aksi final 2005/2006.

Jurgen Klinsmann

Klinsmann mungkin penyerang terkemuka Jerman yang juga juara Piala Dunia 1990, tetapi di peringkat kelab tidak banyak kejuaraan dimenanginya memandangkan dia menjadi nomad bolasepak (banyak berpindah kelab). Dia pernah memenangi Piala UEFA dua kali bersama Inter Milan dan Bayern Munich manakala pencapaian terbaiknya dalam Liga Juara-Juara Eropah adalah separuh akhir bersama Monaco pada 1994.

Michael Owen

Jika dia kekal lagi semusim di Anfield, mungkin Owen tiada dalam senarai ini. Dia meninggalkan Liverpool selepas lapan musim menabur bakti untuk bersama Real Madrid pada 2003/2004, tetapi semusim kemudian Liverpool muncul juara menerusi kebangkitan dramatik di Istanbul tatkala Los Blancos pula gagal melepasi pusingan kedua musim tersebut.

Dia mungkin boleh melakukannya bersama Manchester United, tetapi skuad Alex Ferguson tewas aksi final kepada Barcelona pada 2010/2011.

Zlatan Ibrahimovic

Bakal berusia 40 tahun pada 2021, Ibrahimovic masih kekal sebagai penyerang yang cukup disegani dengan sentuhan jaringan menakjubkan dan pencapaian individu yang luar biasa, tetapi dalam perjalanan karier lebih 20 tahun bersama Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, Paris Saint Germain dan Manchester United, dia tidak pernah menjulang Liga Juara-Juara Eropah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.