15 Tahun Main Bola, Ini Kali Pertama Menang Piala Buat Forestieri Titiskan Air Mata

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Memenangi Piala Sumbangsih mempunyai sentimen tersendiri buat penyerang import baru Johor Darul Takzim, Fernando Forestieri sehingga menyebabkannya menitiskan air mata ketika sidang media selepas perlawanan.

Forestieri menjaringkan satu gol pada minit ke-31 ketika membantu kemenangan 3-0 JDT ke atas KL City pada Sabtu di Stadium Sultan Ibrahim, membolehkan pasukan harimau selatan mengekalkan kejuaraan buat musim kelima berturut-turut.

Dua lagi gol buat skuad bimbingan Benjamin Mora dijaringkan oleh Nazmi Faiz dan pemain gantian Afiq Fazail.

Menurut bekas pemain kelab Serie A, Udinese itu, sepanjang dia bermain bolasepak secara profesional bermula dengan mewakili Genoa pada 2006 hinggalah yang terakhir Udinese pada 2021, dia tidak pernah memenangi sebarang piala dalam kariernya.

“Sudah tentu saya gembira dan tidak dapat tahan sehingga mengalirkan air mata sebab saya menjiwai bola sepak dan apabila memenangi kejuaraan buat kali pertama ia satu kepuasan dan beri lebih motivasi kepada saya untuk terus membantu JDT pada aksi seterusnya.

“Ini adalah aksi pertama saya bersama JDT dan permainan juga berintensiti tinggi, namun saya lega dapat menghabiskan 90 minit perlawanan walaupun keletihan. Ia bukan penghalang untuk saya memberi persembahan terbaik pada aksi itu.

“Saya pernah beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah bersama beberapa kelab di Eropah tetapi tidak pernah menjulang sebarang kejuaraan dan penampilan pertama bersama JDT dan menang piala sungguh cukup menggembirakan dan rasa mahu menangis,” kata Forestieri selepas perlawanan.

Pemain berusia 32 tahun itu kini mensasarkan untuk terus garang bagi membantu JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super buat musim kesembilan, selain turut menyerlah di pentas Liga Juara-Juara Asia.

“Apapun saya perlu tingkatkan lagi kualiti permainan kerana saingan Liga Super akan lebih sukar dan bakal berdepan pasukan yang lebih hebat. Saya harus bersedia bukan sahaja daripada segi fizikal malah mental juga kena kuat,” tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.