2 gol masa kecederaan bantu Kedah lakar kemenangan penuh dramatik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ia mungkin boleh dikatakan perlawanan paling dramatik dalam Liga Super 2021 selepas 10 perlawanan.

Kedah Darul Aman menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk bangkit mencatat kemenangan penuh bergaya, penuh dramatik 3-2 ke atas Kuala Lumpur City pada Jumaat.

Kedah menuju kekalahan ketiga mereka musim di Stadium Darul Aman apabila ketinggalan 1-2 ketika perlawanan sudahpun masuk minit kedua masa kecederaan.

Tetapi Kipre Tchetche muncul wira pasukan apabila meledak dua jaringan – satu menerusi penalti dan satu menerusi rembatan dari dalam kotak penalti sekaligus membuatkan KL City menggigit jari.

Setelah babak pertama tamat tanpa jaringan, Paolo Josue meletakkan skuad Bojan Hodak di depan empat minit selepas permainan bersambung di babak kedua.

Fayadh Zulkifli Amin mengikat kedudukan pada minit ke-70 tetapi Giancarlo Gallifuoco mengembalikan pendahuluan buat KL City sembilan minit kemudian.

Ketika KL City sudah bersedia untuk meraikan kemenangan, pengadil menghadiahkan masa tambahan enam minit dan ia dimanfaatkan sebaik mungkin skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak.

Giancarlo Gallifuoco menjatuhkan pemain gantian Rozaimi Abdul Rahman dan pengadil S.Logeswaran tidak teragak-agak menghadiahkan penalti yang tenang disempurnakan Kipre Tchetche.

Satu mata tidak memadai buat Kedah untuk dihadiahkan kepada penyokong mereka, dan Stadium Darul Aman bergema lagi dua minit selepas itu apabila Kipre Tchetche merembat kencang menewaskan Kevin Mendonza untuk gol kemenangan tuan rumah.

Ia adalah kemenangan keenam buat Kedah musim ini manakala KL City akur dengan kekalahan keempat.

Sementara itu dalam satu lagi aksi, jaringan lewat penyerang veteran Bobby Gonzales membantu Sabah FC mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Sabah mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan seorang lagi penyerang veteran Amri Yahyah namun Selangor bangkit menerusi dua jaringan Ifedayo Olusegun untuk berada 2-1 di depan.

Ketika mereka menghampiri kemenangan ketiga berturut-turut, Bobby Gonzales meledak jaringan penyamaan untuk Sabah mencatat keputusan seri keempat mereka musim ini.

Foto kredit : Facebook Official Kedah Darul Aman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.