2 kad merah dalam seminit hiasi kekalahan Kedah di tangan Terengganu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman FC terlepas peluang terbaik untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Super sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas kecundang 1-2 di tangan Terengganu FC.

Ia kemenangan pertama buat Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain selepas lima perlawanan manakala bagi KDA pula kekalahan kedua mereka musim ini sekaligus menoktahkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman yang disaksikan lebih 6,000 penyokong, tuan rumah berada di depan pada minit ke-40 selepas pertahanan Terengganu FC Muhamad Mohd Fauzi tertampan hantaran lintang rendah Rabih Ataya ke dalam gawang sendiri.

Ketika KDA menjangkakan boleh menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol, Terengganu FC berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Ariff Farhan Md Isa dan ia disempurnakan oleh David Da Silva untuk mengikat kedudukan 1-1.

Pasukan pelawat kemudiannya berada di depan 2-1 selepas hantaran oleh Faisal Halim disempurnakan Azam Azmi Murad menewaskan Shahril Shaari di gawang KDA.

Tempoh 20 minit terakhir menyaksikan KDA menguasai bola dan melancarkan serangan bertali arus memburu gol penyamaan namun mendapati sukar untuk memecahkan kekebalan tembok pertahanan Terengganu FC, selain dibantu ketangkasan penjaga gol Suhaimi Hussin.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, KDA terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fadzrul Danel dilayangkan kad merah kerana menolak pengadil Nor Azriel Baharudin – pengadil sama yang ditolak oleh Natxo Insa.

Tindakan pemain itu adalah disebabkan tidak berpuas hati Nor Azriel tidak memberikan sepakan penalti walaupun bola dilihat terkena tangan pemain Terengganu FC di dalam kotak penalti.

Dan seminit kemudian satu lagi kad merah dilayangkan, kali ini kepada pemain pertahanan Rodney Celvin yang dilihat mengasari pemain Terengganu FC ketika perebutan bola di udara.

Tatkala KDA bimbingan Aidil Shahrin Sahak gagal untuk meneruskan momentum kemenangan di saat yang begitu getir, tiga mata yang diraih sang penyu pula dilihat mengembalikan mereka ke landasan mengejar kedudukan tiga teratas.

Sementara itu dalam aksi tunggal Liga Premier, Kelantan United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan, sekaligus menghadiahkan pasukan bimbingan K.Devan itu kekalahan pertama musim ini.

Foto kredit : Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.