20 tahun lebih jadi jurulatih, pertama kali Marco Ragini lihat insiden lucu seperti ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak pernah sepanjang lebih 20 tahun karier kejurulatihan Marco Ragini, dia melihat seorang pengadil berada di dalam kotak penalti sehingga jatuh terpelanting ditolak oleh pemain sepertimana berlaku ketika perlawanan antara pasukan bimbingannya Kelantan FC dan Perak II pada 6 Mac lalu.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV itu, pengadil perlawanan Amirul Aizat Awang Lodin meluru masuk ke dalam kotak penalti ketika Kelantan FC mengatur serangan pada minit ke-39 dan kedudukannya betul-betul di depan Jack Hindle sehingga menghalangnya mendapatkan bola menyebabkan pemain import dari England itu menolaknya secara agresif.

Ditanya mengenai kemungkinan Jack Hindle dikenakan hukuman akibat daripada tindakan tersebut, Marco Ragini berkata, “Saya berbual dengan Hindle mengenai perkara itu (menolak pengadil), dia meminta maaf apa yang berlaku, Hindle sentiasa mahukan perlawanan bersih dan tidak mahu membuat kacau di padang.

“Namun bagi saya ia melucukan kerana berlaku dalam kotak penalti, jujur saya katakan kali pertama saya lihat pengadil berada di dalam kawasan berkenaan ketika perlawanan berlangsung. Hindle sebenarnya cuba mengelak dan bukannya mahu menolak pengadil berkenaan, tetapi pengadil berada di tempat salah dan ia berlaku secara spontan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menyalahkan pengadil 100 peratus, mungkin beliau masih kurang pengalaman mengadili pentas tertinggi liga, jadi itu boleh dijadikan pengajaran kepada semua,” kata pengendali dari Itali itu selepas perlawanan menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sebagai rekod, Jack Hindle telah dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdasarkan bukti rakaman video manakala Amirul Aizat pula telahpun diambil tindakan di mana dia akan dihantar mengikuti kursus penambahbaikkan prestasi.

Selain Amirul Aizat, FAM juga turut mengambil tindakan ke atas pengadil Fairuzi Mohd Desa yang membuat kesilapan menghadiahkan penalti kepada PJ City ketika perlawanan menentang Melaka United pada 13 Mac lalu setelah tertipu dengan lakonan Ahmad Khairil Anuar Zamri dengan menggantungnya selama dua minggu, sekaligus menunjukkan betapa mereka serius mahu menangani isu prestasi pengadil.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.