20 Tahun Main Bola, Safee Sali Masih Kempunan Julang Piala Malaysia

Safee Sali
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Safee Sali mungkin antara penyerang terbaik pernah disaksikan penyokong Liga Malaysia di era millenium tetapi sepanjang 20 tahun bergelar pemain profesional, dia belum pernah menjulang Piala Malaysia.

Justeru penyerang berpengalaman berusia 37 tahun itu berharap dapat menamatkan penantian tersebut dan menjulang trofi TM Piala Malaysia buat pertama kali dalam kariernya bersama KL City FC tahun ini.

Penyerang berkenaan mengakui ini detik terbaik untuk merasai nikmat tersebut seterusnya melengkapkan koleksi kejuaraan utama domestik Liga Malaysia.

Baca : Jawapan Luar Biasa Safee Sali Apabila Ditanya Tentang Pemain Tempatan Kuat Merokok

Sebelum ini dia sudah merasai kejayaan memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah ketika bersama Selangor (2009-2010) dan Johor Darul Ta’zim (2014-2016).

“Secara jujur, saya mengharapkan ada rezeki buat kali ini bersama KL City kerana belum ada rezeki saya memenangi Piala Malaysia dengan tiap pasukan yang saya sertai.

“Saya sudah merasai kejayaan memenangi trofi utama sepanjang bermain di Liga Malaysia tetapi jika berjaya memenangi Piala Malaysia, maka lengkaplah koleksi kejuaraan buat saya sepanjang bergelar pemain.

“Bersama KL City, saya akan berusaha sedaya membantu pasukan mara sejauh mungkin dan berdasarkan prestasi hebat kami di laman sendiri yang belum tewas, saya rasa kami mampu melakar sesuatu.

“Segalanya tampak menjadi kebelakangan ini dengan segala kerja keras rakan sepasukan yang dipamerkan semasa latihan, mula membuahkan hasil dan harap rentak positif mampu diteruskan sepanjang saingan TM Piala Malaysia,” katanya.

KL City ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas meraih empat mata hasil kemenangan 3-1 berdepan Sri Pahang FC serta seri 1-1 menentang Penang FC.

Sementara itu, Safee Sali juga cukup teruja apabila berjaya meraih semula kepercayaan ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak setelah sekian lama diletakkan di bangku simpanan.

Bukan sahaja diturunkan dalam empat perlawanan terakhir bersama Kuala Lumpur City pada perlawanan Liga Super dan TM Piala Malaysia 2021 malah penyerang berusia 37 tahun ini turut diberi peranan selaku ketua pasukan.

Baca : Terimalah Hakikat, Safee Sali Tak Macam Dulu Untuk Jadi Penyerang Utama – Bojan Hodak

“Ketiadaan penyerang import (Kyrian Nwabueze) selain ketiadaan Paulo Josue pada waktu itu yang cedera, mungkin membuka ruang buat saya untuk diturunkan malah saya berpuas hati dapat sumbangkan satu gol semasa bertemu Kedah.

“Apabila diturunkan buat pertama kali, tidak dinafikan ada perasaan kekok kerana sekian lama tidak bermain tetapi saya rasa bersyukur sudah boleh menyesuaikan diri.

“Saya harap akan terus diberikan peluang untuk beraksi sepanjang saingan TM Piala Malaysia walaupun ada kalanya beliau (Bojan) mungkin ada perancangan tersendiri dalam soal susunan pemain pada tiap perlawanan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Safee Sali yang juga penjaring terbanyak Piala AFF 2010 diturunkan sembilan kali sebagai pemain gantian pada 20 perlawanan Liga Super sebelum menjadi pilihan Bojan mengisi posisi penyerang utama pada dua perlawanan terakhir.

Bojan pernah merancang untuk menurunkan Safee pada perlawanan dengan Sabah pada 4 Ogos lalu tetapi dia disahkan mengalami demam denggi dan terpaksa berehat panjang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.