4 pasukan yang menghadiahkan 6 kekalahan terbesar JDT dalam Liga-M

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim sentiasa menjadi pasukan yang mahu ditewaskan oleh mana-mana pasukan. Bukan mudah untuk melakukannya, tetapi terdapat empat pasukan yang bukan sahaja pernah menewaskan JDT, tetapi menghadiahkan mereka kekalahan yang mengaibkan.

Berikut enam perlawanan yang mana JDT pernah tewas dengan tiga atau lebih jaringan sejak pasukan ini wujud pada 2013 (disusun mengikut defisit jaringan).

Perak 3-0 JDT (Liga Super)
27 April 2013, Stadium TLDM

Perak mendahului menerusi tandukan Paolo Rangel pada minit ke-12.

Walaupun JDT memasukkan Nurul Azwan Roya dan Safee Sali, gagal mencari gol penyamaan sebaliknya Perak terus selesa menerusi gol kedua Rangel pada minit ke-60.

Rangel melengkapkan kemenangan apabila gerakan solonya berjaya menghasilkan jaringan ketiga pada minit ke-82.

Perak 3-0 JDT (Piala Malaysia)
30 Julai 2016, Stadium Ipoh

JDT merehatkan pemain-pemain utama seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Marcos Antonio, Pereyra Diaz dan menurunkan skuad kedua.

Perak mendahului minit ke-15 menerusi Xhevahir Sukaj hasil hantaran Kenny Palraj. Sang seladang menggandakan kelebihan pada minit ke-42 menerusi half volley Fazrul Hazli Kadri yang menewaskan Farizal Marlias.

Perak kemudian memanfaatkan kelebihan seorang pemain setelah S.Chanturu dilayangkan kad merah kerana menampar muka Thiago Aquino, untuk menjaringkan satu lagi gol menerusi Fazrul Hazli.

JDT 0-3 Pahang (Piala FA)
20 April 2018, Stadium Larkin

Patrick Cruz 4 pasukan yang menghadiahkan 6 kekalahan terbesar JDT dalam Liga-M

Hatrik Patrick Cruz menghadiahkan JDT kekalahan terbesar mereka di Larkin.

Patrick Cruz menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-9 selepas melepasi perangkap ofsaid.

Dia kemudian menggandakan kedudukan setelah menolak masuk umpanan Kogileswaran pada minit ke-59 dan melengkapkan kemenangan menerusi gerakan solo pada minit ke-76 sekaligus membawa Pahang ke semifinal Piala FA.

Selangor 4-1 JDT (Liga Super)
9 Mac 2013, Stadium Shah Alam

Selangor membuka jaringan seawal minit ketiga apabila hantaran lintang S.Kunanlan terus menerjah jaring melepasi jangkauan Zamir Selamat.

Kemudiannya Forkey Doe menggandakan kelebihan pada minit ke-32. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi ianya Selangor yang terus garang menambah jaringan apabila Mahali Jasuli bijak mengawal bola dan melepasi beberapa pertahanan sebelum merembat menewaskan Al Hafiz Hamzah pada minit ke-67.

Dua minit kemudian Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya Selangor manakala Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol saguhati JDT pada minit ke-75.

Kelantan 4-1 JDT (Liga Super)
15 Ogos 2015, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

Kelantan mendahului seawal minit ketiga menerusi jaringan Gilmar Filho yang menolak masuk umpanan Norfarhan Mohamad.

10 minit kemudian kapten Badhri Radzi menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti.

Mahali Jasuli merapatkan kedudukan pada minit ke-50 tetapi seminit kemudian Norfarhan Mohd mengegar gawang JDT untuk mengembalikan kelebihan dua gol. Gilmar melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-83, sekali lagi hasil umpanan Norfarhan.

Kelantan 6-1 JDT (Piala Malaysia)
5 Oktober 2013, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

Perlawanan yang akan selamanya kekal sebagai kenangan terindah buat penyokong Kelantan dan igauan buruk buat JDT.

JDT bertandang ke Kota Bharu membawa kelebihan agregat dua gol. Norfarhan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 dan Badhri Radzi menggandakan kedudukan pada minit ke-30.

Safee Sali mengembalikan kelebihan agregat pada minit ke-42 namun Kelantan pantas menjaringkan satu lagi gol menerusi Obinna Nwaneri dua minit kemudian untuk kedudukan 3-1 di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Kelantan garang menambah tiga lagi jaringan, bermula dengan Dickson Nwakaeme pada minit ke-46, Norfarhan pada minit ke-62 dan Indra Putra Mahyuddin pada minit akhir.

Foto : Pahang FA, thestar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.