5 detik menarik bolasepak negara antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Labola Malaya mengimbau semula lima detik menarik yang berlaku dalam catitan sejarah bolasepak Malaysia sepanjang tempoh 16 hari di antara sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia.

Juarai Pestabola Merdeka 2013

Malaysia juara Pestabola Merdeka 2013 5 detik menarik bolasepak negara antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia

Malaysia muncul juara pertandingan kedua tertua di Asia ini buat kali ke-12 secara keseluruhan dan kali kedua sejak ia dikhususkan kepada bawah 23 tahun.

Prestij pertandingan ini pada hakikatnya tidak lagi sama seperti mana suatu masa dahulu yang pernah menarik pasukan-pasukan besar seperti Bahrain, Korea Selatan, Slovakia dan Uzbekistan apabila hanya empat pasukan mengambil bahagian, rata-ratanya pasukan yang sedang dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada hujung tahun.

Thailand menghantar pasukan pilihan mereka manakala Jordan pula menarik diri pada saat akhir menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia memanggil Myanmar sebagai pengganti.

Malaysia mengekalkan rekod bersih menang kesemua tiga perlawanan ke atas Singapura, Myanmar dan Pilihan Thailand di peringkat round-robin sebelum mengesahkan kejuaraan pada tanggal 14 September, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia ke-50 dengan menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi final menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan juga Junior Eldstal.

Wan Zack Haikal Wan Noor dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala Rozaimi pula memenangi kasut emas penjaring terbanyak dengan tiga gol.

 

Tumbangkan juara tiga kali Thailand di separuh akhir Sukan SEA 1987

Mungkin tiada hadiah Hari Malaysia yang lebih manis lebih daripada ini – pasukan negara melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA Jakarta 1987 dengan menumbangkan musuh tradisi Thailand di separuh akhir pada 16 September.

Thailand ketika itu turun dengan reputasi hebat juara tiga edisi berturut-turut pada 1981, 1983 dan 1985 setelah merampas ibu segala emas itu dari tangan Malaysia dan pilihan untuk mempertahankannya sekali lagi.

Setelah gagal merekodkan kemenangan dalam peringkat kumpulan apabila sekadar mencatat dua keputusan seri menentang Burma dan Singapura, jaringan daripada dua pemain bintang ketika itu Hassan Sani dan Dollah Salleh menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Malaysia bimbingan Abdul Rahman Ibrahim di Stadium Istora Senayan.

Ia mungkin kejayaan yang lebih manis jika Malaysia menoktahkan saingan selaku juara namun mereka terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah yang memenangi pingat emas menerusi jaringan emas pada masa tambahan.

 

Layak ke final Sukan SEA selepas 11 tahun

Sejak kejayaan memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, bolasepak Malaysia mengalami kemerosotan teruk dan untuk lima edisi berturut-turut bermula 1991, pasukan kebangsaan gagal melepasi halangan peringkat kumpulan di Sukan SEA.

Dua hari selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-44, Malaysia membuka tirai saingan Sukan SEA 2001 dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Brunei dengan penyerang sensasi Akhmal Rizal Ahmad Rakhli menjaringkan hatrik pada perlawanan itu.

Sukan SEA 2001 5 detik menarik bolasepak negara antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia

Malaysia dibimbing Allan Harris kemudiannya meneruskan kecemerlangan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Indonesia. Skuad negara menamatkan penantian 11 tahun untuk berada di kelompok empat terbaik menerusi kemenangan 2-0 ke atas Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan pada 11 September dan mara ke separuh akhir dengan rekod bersih.

Malaysia kemudiannya mengakhiri pula penantian untuk beraksi di pentas final dengan menewaskan  Myanmar 1-0 pada 13 September namun tiada ‘happy ending’ apabila kesilapan penjaga gol menyaksikan Malaysia tumpas 0-1 kepada Thailand pada 15 September.

Namun untuk memenangi pingat perak selepas 11 tahun ‘hilang’ dan pertama kali bolasepak di Sukan SEA dikhususkan kepada bawah 23 tahun, tentunya ia pencapaian yang mengagumkan.

Akmal Rizal berkongsi kedudukan penjaring terbanyak saingan dengan lima gol bersama-sama pemain Thailand, Manit Noywech.

 

Muncul naib juara edisi sulung Piala Tiger

Piala Tiger 1996 5 detik menarik bolasepak negara antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia

Hari ini pertandingan ini dikenali Piala AFF Suzuki tetapi ketika ia diperkenalkan 22 tahun lalu, ia dikenali dengan nama Piala Tiger dengan Singapura adalah tuan rumah sulung.

Malaysia ketika itu diwakili nama-nama besar seperti Khairul Azman Mohamad, Zami Mohd Nor, B.Rajnikandh, Yap Wai Loon, Zainal Abidin Hassan, Idris Karim, K.Sanbagamaran dan ramai lagi.

Bermula dengan seri menentang Singapura, Malaysia membelasah Filipina 7-0, seri 1-1 menentang Thailand dan mengesahkan tempat di separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Brunei 6-0.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mara ke final dengan menewaskan Indonesia 3-1 dalam aksi separuh akhir pada 13 September sebelum menamatkan saingan selaku naib juara edisi sulung setelah tewas 0-1 kepada Thailand di final hasil jaringan tunggal Kiatisuk Senamuang.

 

Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974

Sejak beberapa dekad tiada sebarang pencapaian Harimau Malaya di luar rantau Asia Tenggara untuk dibanggakan. Situasi bolasepak Malaysia ketika ini kalau layak ke kelompok 16 terbaik atau paling jauh suku akhir sekalipun sudah dianggap pencapaian yang sangat cemerlang.

Kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Asia sebanyak dua kali serta layak ke Sukan Olimpik dua kali pada 1972 dan 1980 masih lagi kekal sebagai sejarah gemilang yang dicanangkan kepada generasi pada hari ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Asia, adalah 44 tahun lalu iaitu di temasya Tehran 1974. Hakikatnya kejayaan ini lebih manis daripada ketika pertama kali memenangi gangsa pada temasya 1962 kerana di sini lebih banyak pasukan mengambil bahagian, lebih banyak perlawanan dan tahap kompetitif pertandingan juga adalah lebih tinggi.

Bermula dengan kekalahan besar 3-8 di tangan Israel, Malaysia mencatat seri dengan Jepun sebelum melepasi halangan kumpulan dengan membelasah Filipina 11-1.

Di pusingan kedua yang turut diadakan secara round-robin, Malaysia tewas kepada Iran tetapi kemudiannya seri menentang Iraq dan mara ke perlawanan penentuan gangsa dengan menewaskan Korea Selatan.

Harimau Malaya mengesahkan gangsa pada 15 September menerusi kemenangan 2-1 ke atas Korea Utara dengan Isa Bakar menjaringkan kedua-dua gol.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.