Robin Van Persie namakan 5 pemain Red Devils paling dikaguminya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Robin van Persie merupakan salah seorang penyerang terbaik yang pernah menyarung jersi serba merah Manchester United.

Berhijrah ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas 2012-13 dengan tanda harga sekitar £24 juta, pemain kelahiran Belanda berketinggian 1.83 meter ini cukup dikenali dengan kemampuan kaki kirinya yang berbisa. 

Kebolehannya untuk melakukan rembatan ‘swing’ daripada luar kotak penalti menjadi mimpi ngeri buat barisan pertahanan dan penjaga gol pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada waktu itu.

Sepanjang beraksi bersama pasukan Red Devils selama tiga musim, van Persie telah menjaringkan sejumlah 58 gol daripada 105 penampilan dan turut menjulang trofi Liga Inggeris 2012-13 dan Community Shield 2013.

Memandangkan bola sepak merupakan permainan berpasukan sudah pasti angka jaringan serta dua trofi yang dirangkulnya bersama Manchester United itu hadir dengan bantuan rakan sepasukan yang turut sama beraksi bersamanya.

Dalam satu temubual bersama So Foot, Robin van Persie diajukan soalan tentang siapakah pemain yang paling dikaguminya semasa beraksi bersama Manchester United.

Van Persie dipetik berkata, “Sukar untuk menjawab soalan itu, kerana kebanyakan mereka sangat hebat dengan cara mereka tersendiri. Saya rasakan anda seharusnya sentiasa menjadi diri sendiri, dan pemain-pemain ini cukup hebat apabila menunjukkan kemampuannya tersendiri.”

Namun dia menyambung ulasan itu dengan menamakan lima pemain. Ia dimulai dengan pertahanan kental dari Serbia yang beraksi bersama Manchester United selama 9 musim.

Nemanja Vidic merupakan seorang pahlawan, dia (berani) meletakkan kepalanya di mana kebiasaan orang tidak melakukannya. Dia lakukan apa sahaja untuk menang.”

Selain Nemanja Vidic, penyerang yang kini menginjak usia 36 tahun turut bercakap mengenai pertahanan kelahiran England iaitu Rio Ferdinand. Kedua-dua Vidic dan Ferdinand pernah dilabel sebagai duo pertahanan terbaik dalam sejarah bola sepak England.

“(Rio) Ferdinand, merupakan seorang yang cukup ‘elegan’, sangat selesa memegang bola, kuat ketika bertarung di udara, dan memiliki (kualiti) hantaran jauh yang baik.”

Baca : Ferdinand tidak pernah fikir tentang trofi yang dia menang, tetapi apa yang dia terlepas

Baca : Ryan Giggs namakan dua pemain terbaik pernah beraksi dengannya

Turut berada dalam senarai van Persie adalah pemain yang memiliki penampilan paling banyak bersama Manchester United iaitu dengan rekod sekitar 1000 penampilan termasuk sebagai pemain gantian dan beraksi selama 23 tahun bersama Red Devils.

Ryan Giggs merupakan pemain yang suka menarik perhatian, sentiasa memberikan tanggapan berada dalam zon selesa. Masih mengekalkan tubuh badan yang hebat pada usia 39! Dia melakukan yoga, dan hidup dengan bola sepak sepanjang masa.”

Senarai lima pemain ini turut disertai oleh pemegang rekod penjaring terbanyak Manchester United kelahiran England dengan 253 gol daripada 559 penampilan dan merupakan menjadi rakan penggempur van Persie di bahagian serangan.

Wayne Rooney, juga hebat dengan gayanya tersendiri, dan dia sentiasa sepenuhnya impak dan tekanan…”

Pemain kelima pilihan van Persie ialah Patrice Evra yang cukup terkenal beraksi sebagai bek kiri. Bukan sahaja hebat di atas padang malah van Persie kagum dengan kepintaran yang dimiliki Evra yang membolehkan dia menguasai lima bahasa termasuk bahasa Korea.

“Patrice Evra, seorang yang hebat dengan lantang bersuara, untuk melakukan provokasi dan memastikan keyakinan dalam pasukan. Hari ini, saya tahu dia membuat video-video ‘kelakar’. 

“Tetapi (jangan) mudah tertipu kerana dia merupakan seorang yang amat profesional dan bijak. Dia mampu bertutur lima bahasa, malah dia juga mampu berbahasa Korea! 

“Penampilan fizikal menunjukkan betapa profesionalnya dia, mentalnya juga sama kuat sepertimana kuatnya fizikal tubuh badannya.” kata van Persie.

Menariknya kesemua pemain yang disebutkan iaitu Vidic, Ferdinand, Giggs, Rooney dan Evra termasuk van Persie memiliki persamaan iaitu pernah menggalas tugas selaku kapten pasukan Manchester United.

Kelima-lima pemain yang disebutkan oleh van Persie ini boleh dianggap sebagai ‘Golden Generation’ Manchester United di mana mereka turut membawa The Red Devils bukan sahaja menjulang beberapa trofi domestik malahan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan trofi Piala Dunia Kelab FIFA.

Foto: Manchester United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.