5 tahun main di Liga Premier, Baqiuddin akui terkejut dilamar Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Sri Pahang, Muhd Baqiuddin Shamsudin mendedahkan tidak pernah menyangka akan dapat bermain di pentas Liga Super bersama negeri kelahirannya itu selepas lima musim berkelana bermain dengan pasukan Liga Premier.

Baqiuddin yang kini berusia 27 tahun merupakan anggota skuad Piala Presiden Pahang pada 2015, tetapi tidak diserap ke skuad senior menyebabkan dia berhijrah bermain dengan Shahzan Muda (2016), Kuantan FA (2017), PDRM FC (2018) dan UKM FC (2019/2020).

“Siapa yang tidak hendak main untuk negeri sendiri, telah lama saya menunggu peluang ini selepas bermain dalam skuad Piala Presiden Pahang sejak tahun 2015, barulah impian saya menjadi kenyataan.

“Sebaik berakhir musim lalu dengan UKM FC, saya sendiri tidak menjangka mendapat tawaran dari Sri Pahang dan pihak pengurusan pada waktu itu di bawah Datuk Mohammed Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC) ada hubungi saya.

“Sangat terkejut pada mulanya namun bersyukur kerana akhirnya dapat juga bermain di Liga Super malah menambah lagi kegembiraan, menyarung jersi negeri kelahiran.

“Saya tidak mahu membazirkan peluang yang diberikan dan buat masa ini, saya cukup teruja kerana sering kali mendapat peluang untuk diturunkan dan gol pertama saya ketika bertemu UiTM menjadi pembakar motivasi untuk gigih tingkatkan prestasi,” kata Baqiuddin yang berasal dari Kuala Lipis.

Meskipun bertubuh ‘kecil molek’ yang dengan ketinggian 165 sentimeter, kelincahan Baqiuddin berjaya memenangi perhatian penyokong Sri Pahang dan dia juga menjadi antara sandaran utama Dollah Salleh.

Buktinya Baqiuddin telah melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan sekali sahaja selaku pemain gantian musim ini.

Satu lagi perkara menarik mengenai Baqiuddin ialah dia merupakan sepupu kepada tonggak tengah pasukan itu yang juga pemain kebangsaan, Nor Azam Azih.

Malah, hubungan mereka berdua sebenarnya amat rapat dari kanak-kanak apabila sering kali bermain bola bersama dan dia tidak menjangka akhirnya mereka kembali dipertemukan di dalam Sri Pahang.

“Azam sebenarnya sepupu saya, iaitu di sebelah ayah dan dia pun sebenarnya berasal dari Kuala Lipis sebelum keluarganya berpindah ke Jengka.

“Kami agak akrab dari kecil dan memang mengenali satu sama lain, jadi apabila dia dapat tahu saya bersama Sri Pahang musim ini, dia menjadi antara orang paling gembira.

“Mungkin perkara itu juga menjadi kelebihan buat kami berdua apabila kembali bersama kerana masing-masing mengetahui corak permainan sesama sendiri di dalam padang.

“Dalam masa sama, saya optimis Sri Pahang akan lakar kebangkitan bagi menjauhi zon penyingkiran melalui kualiti import baharu seperti Manuel Hidalgo yang saya rasakan antara pemain terbaik pernah saya jumpa,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.