6 Bulan Bermain Dalam Kesakitan, Sebab Sebenar Matthew Davies Tidak Disenaraikan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Adakah kesakitan yang ditanggung sejak sekian lama adalah punca utama mengapa pemain pertahanan Matthew Davies tidak disenaraikan Tan Cheng Hoe untuk mengharungi Piala AFF 2020?

Pemain berdarah kacukan itu, menyatakan dirinya telah selamat menjalani pembedahan hernia sukan di Jerman sebaik tamat kempen Piala Malaysia dan kini sedang dalam proses pemulihan tatkala Harimau Malaya sedang berjuang di Singapura membawa misi mara ke final Piala AFF kali kedua berturut-turut.

“Tidak sabar untuk beraksi tanpa sebarang kesakitan selepas enam bulan beraksi dalam kesakitan. Bersyukur kepada JDT yang membantu saya untuk berjumpa dengan salah seorang pakar bedah terbaik dunia dalam perkara ini. Sekarang masa untuk berehat dan menikmati cuti,” ujar pemain itu di instagramnya.

Bekas kapten skuad B-23 kebangsaan ini beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia namun gagal membantu pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019 setelah tewas kepada KL City.

Dia bagaimanapun menamatkan musim 2021 dengan dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik Liga Malaysia di Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan Virtual pada Sabtu minggu lalu.

Sebagai rekod, Tan Cheng Hoe ketika mengumumkan senarai pemain ke Piala AFF pada bulan lalu membuat kejutan besar apabila menyingkirkan tonggak utama skuad Harimau Malaya itu bersama-sama beberapa lagi pemain lain seperti Farizal Marlias, Corbin Ong, Nazmi Faiz dan Arif Aiman (kemudiannya disenaraikan) tanpa menyatakan sebab yang konkrit.

Ini mengecewakan penyokong bolasepak tanah air kerana tidak memanggil pemain-pemain yang sedang berada di tahap terbaik sehingga ada yang membuat andaian Cheng Hoe sengaja menyisihkan mereka kerana patuh pada arahan individu tertentu.

Di tempat Matthew Davies, Tan Cheng Hoe menyenaraikan beberapa pemain antaranya Rizal Ghazali, Syahmi Safari, Quentin Cheng malah pemain yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools juga merupakan pemain pertahanan kanan.

Dalam aksi pertama menentang Kemboja tempoh hari, Rizal Ghazali diturunkan di pertahanan kanan manakala Syahmi Safari di pertahanan kiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.