6 pemain yang pernah dibeli Manchester United dari Serie A

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Manchester United baru-baru ini telah melengkapkan pembelian Amad Diallo dari Atalanta, dan pemain berusia 18 tahun itu menjadi pemain ketujuh dari Serie A untuk menyertai kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Sejauh mana sumbangan pemain-pemain yang ‘diimport’ dari liga nombor satu Itali ini di dalam memacu prestasi pasukan, pembelian yang berbaloi atau tidak, jom kita tengok sumbangan enam pemain dari Serie A yang dibeli United sebelum ini.

Nota : Kami senaraikan hanya pemain yang dibeli untuk menyertai skuad utama Manchester United, dan bukannya pemain yang dibeli untuk masuk ke dalam pasukan remaja ataupun akademi Red Devils, jadi tiada nama Davide Pettruci dan Federico Macheda.

# Paul Pogba

Bagaimana untuk menilai prestasi wira Piala Dunia 2018 Perancis ini, ada ketika dia nampak cukup bagus, ada ketika dia bermain hanya ala kadar dan tidak sedikitpun menepati reputasi sebagai pemain bintang. Dengan tag harga £89 juta yang mana merupakan rekod perpindahan termahal dunia ketika dia dibeli dari Juventus untuk menyertai United buat kali kedua pada 2016, tidak keterlaluan untuk mengatakan Pogba belum menunjukkan sesuatu untuk memberi justifikasi kepada harga mahal itu dan penyokong sudah tentu mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.

# Matteo Darmian

Pemain bek kanan Itali ini dibeli dengan harga £12.7 juta dari Torino pada 2015 dan pada awalnya disebut sebagai pengganti jangka panjang kepada Gary Neville.

Begitupun dalam empat musim dia di Old Trafford, dia tidak memenuhi ekspetasi malah gagal untuk memenangi tempat secara regular di dalam kesebelasan utama, menyaksikannya dijual kepada Parma dengan harga hanya £1.4 juta pada 2019.

# Sergio Romero

Menandatangani Sergio Romero secara percuma dari Sampdoria pada 2015 mungkin sesuatu yang bagus untuk United, mana tidaknya mereka membawa masuk penjaga gol utama skuad kebangsaan Argentina yang juga salah seorang penjaga gol terbaik di Piala Dunia 2014 untuk memantapkan pasukan.

Tetapi malangnya ia tidak bagus buat Romero, kerana dia datang dan sekadar menjadi back-up kepada David De Ga, seteruk manapun prestasi penjaga gol Sepanyol itu sukar untuk Romero memenangi kepercayaan untuk diturunkan walaupun dia cemerlang membantu United memenangi Liga Europa 2017.

Penampilan terbatas, dan dia sendiri menyuarakan kekecewaan beberapa kali, malah meminta mahu berpindah namun sehingga kini kekal di Old Trafford, menjadi pilihan ketiga di belakang De Gea dan Dean Henderson.

# Giuseppe Rossi

Rossi hanya berusia 17 tahun ketika dia menyertai United dari Parma pada 2004, tetapi pantas memenangi tempat di dalam skuad utama, membuat dua penampilan di saingan Piala Liga pada musim pertamanya.

Diakui sebagai pemain berbakat, Rossi bagaimanapun bergelut memenangi tempat sebagai pemain regular berikutan terpaksa bersaing dengan ramai pemain berprofil tinggi di bahagian serangan United ketika itu, dan lebih banyak menghabiskan karier secara pinjaman bersama Newcastle dan Parma, sebelum dijual pada musim 2007.

# Juan Sebastian Veron (Foto Utama)

Bintang Argentina ini meninggalkan Lazio dan tiba di Old Trafford dengan rekod perpindahan British £24.3 juta dan sentiasa dilabel sebagai pemain yang gagal dalam jersi United. Ya, memang dia bergelut untuk mengulangi prestasi sama yang melonjakkan namanya di Serie A, tetapi Veron juga mempunyai momen menarik untuk dikenang dalam tempoh singkat dua musim di United, khususnya di pentas Eropah.

Nicky Butt dalam satu temuramah pernah mengatakan, “Saya digantung ketika menentang Everton dan Veron bermain di posisi saya, melihatnya bermain saya terfikir mungkin sudah tiada masa depan saya bersama United, saya kena cari pasukan lain, dia begitu menakjubkan dan pemain terbaik pernah saya jumpa selepas Eric Cantona.”

#Laurent Blanc

Sir Alex Ferguson pada hakikatnya mahu menandatangani Blanc pada tahun 1996 tetapi hanya berjaya mendapatkannya pada 2001, dan pada ketika itu dia sudahpun berusia 35 tahun, secara jujur sudah terlalu tua untuk bolasepak inggeris.

Dia merupakan pemain regular pada musim pertama di United, dan membantu skuad memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim kedua sebelum mengumumkan persaraan.

Foto ehsan : Manchester United

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.