7 Gol Dalam 9 Perlawanan, Jordan Mintah Yang Lama Sudah Kembali

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jordan Mintah membuktikan sentuhan penyudahnya masih lagi tajam di sebalik cakap-cakap yang mengatakan prestasinya semakin merudum dan tidak sama seperti musim lalu.

Musim lalu dia muncul penjaring terbanyak Liga Premier bersama-sama Fernando Rodriguez dengan jumlah 16 gol tetapi bermula dengan perlahan musim ini apabila hanya menjaringkan tiga gol dalam tujuh perlawanan menyebabkan penyokong membuat kesimpulan dia sudah tidak tajam seperti dulu.

Tetapi penyerang dari Ghana itu bangkit meledak empat gol dalam dua aksi terakhir iaitu dua masing-masing ketika menentang Kuching City dan Skuad Projek FAM-MSN, dan ketika ini mengumpul tujuh jaringan dalam sembilan perlawanan.

Ini juga sekaligus melonjakkannya ke kedudukan kedua carta penjaring, satu gol di belakang Fernando Rodriguez.

Bagi Jordan Mintah, bukan jumlah jaringannya yang sepatutnya diberikan perhatian, tetapi tentang sumbangannya kepada pasukan, dalam masa sama dia mengharapkan keyakinannya akan bertambah setelah kembali mengegar jaring.

“Saya rasa tidak tepat untuk menilai prestasi secara keseluruhan hanya berpandukan kerana jumlah gol tetapi apa yang saya mampu sumbangkan bagi membantu kemenangan pasukan.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang telah sumbangkan kepada pasukan malah sebelum aksi berdepan Kuching City, saya rasakan jumlah tiga gol itu bukanlah sesuatu yang sangat teruk.

“Cuma selepas dua jaringan berdepan Kuching City, saya rasa itu sedikit sebanyak menaikkan lagi moral buat saya selaku penyerang dan saya berjaya meneruskan momentum ketika menentang Skuad Projek,” katanya.

Prestasi ditunjukkan Jordan Mintah ketika ini pastinya turut mendapat perhatian pengendali skuad Terengganu FC, Nafuzi Zain yang sedang dalam proses menyediakan sebuah skuad mantap bagi memberi tentangan sengit apabila Liga Super kembali bersambung.

Jordan Mintah sendiri diketahui sememangnya menyimpan hasrat untuk bermain di Liga Super dan sedang sedaya upaya mahu membuktikan kredibilitinya tatkala Nafuzi Zain sudahpun mempunyai kelibat Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dalam skuad utama.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.