8 tahun berlalu, mana lot tanah kami?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain Kelantan yang dijanjikan lot tanah sebagai ganjaran menjuarai treble pada 2012 sehingga kini masih menanti janji itu ditunaikan.

Lapan tahun sudah berlalu sejak berlangsungnya Majlis Cabutan dan Penyerahan Lot Tanah oleh Tan Sri Annuar Musa (bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan), status mengenai tanah itu menjadi tanda tanya.

Beberapa pemain Kelantan musim 2012 menghubungi Labola Malaya untuk meluahkan rasa kecewa mereka mengenai isu ini selepas tiada sebarang kemaskini lanjut mengenai status tanah tersebut baik dari pihak Tan Sri Annuar Musa, mahupun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

“Sehingga kini janji tinggal janji. Kami pun tidak tahu sampai bila kena tunggu, dah siap buat majlis pecah lot, pengagihan tanah lepas tu senyap.

“Ini adalah hak kami yang tidak sepatutnya dinafikan. Bayangkan ketika itu ada pemain yang tidak mendapat rumah (pemain import), mereka dapat pampasan dalam bentuk duit, kita yang dijanjikan tanah seolah dilupakan terus,” ujar salah seorang tonggak The Red Warriors 2012.

Berdasarkan semakan Labola Malaya, pada majlis cabutan dan penyerahan tanah yang berlangsung Mei 2013 di TRW Cafe, seramai 25 pemain dan pegawai pasukan Kelantan musim 2012 menerima lot tanah masing-masing yang bakal dibangunkan sebagai Perkampungan Bola Sepak TRW berhampiran
Kolej Matrikulasi Kelantan di Kok Lanas.

Tan Sri Annuar Musa ketika itu berkata, tanah yang mempunyai keluasan empat hektar itu akan turut dibina dengan beberapa kemudahan lain seperti rumah kelab, kolam renang dan gimnasium khusus untuk kegunaan pemain bola sepak Kelantan.

“Selain itu turut diwujudkan stadium astroturf dan padang asli yang turut dibuka kepada orang ramai. Kita juga mempunyai sebuah kompleks sukan TRW bagi aktiviti Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) termasuk kemudahan asas lain.

“Jalan-jalan di perkampungan ini akan dinamakan Jalan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super di atas kejayaan menjulang tiga piala itu musim lalu. Malah bangunan yang terdapat di kawasan ini akan dibina berkonsepkan
bola sepak,” kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Jurulatih Kelantan 2012, Bojan Hodak dan pemain import dari Nigeria, Obinna Nwaneri yang tidak mendapat lot tanah itu bagaimanapun menerima pampasan dalam bentuk wang tunai mengikut harga semasa tanah tersebut.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim pula memberitahu pengagihan lot tanah tersebut dilakukan berdasarkan beberapa kriteria tertentu dan dibahagikan kepada tiga kategori melibatkan ‘cap’ pemain beraksi bersama pasukan sepanjang musim 2012.

Jadi apa sebenarnya yang terjadi kepada lot tanah yang dijanjikan itu. Kenapa senyap begitu sahaja selepas gah mengadakan majlis pecah lot dan penyerahan tanah. Lapan tahun berlalu, berapa lama lagikah pemain dan pegawai ini akan menunggu, atau janji telah dimungkiri?

Sebagai rekod, Kelantan ketika itu mempertahankan gelaran Liga Super, dan kemudiannya menjulang Piala FA dengan menewaskan Sime Darby, dan menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan ATM.

Kredit gambar : Facebook

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.