Abdul Ghani : Tak ada masalah pun Felda United bagi slot kepada Rakyat United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysian Football League (MFL) menegaskan tidak menjadi masalah sekiranya Felda United bertanding dalam Liga Malaysia 2021 sebagai sebuah pasukan yang dijenamakan semula seterusnya tampil dengan identiti baru ataupun memilih untuk memberikan slot mereka itu kepada pasukan lain.

Hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong bolasepak tempatan, Felda United sedang dalam proses penjenamaan semula dan akan dikenali dengan nama Rakyat United musim depan. Malah perkara itu turut disahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam masa sama, ada yang mengatakan Rakyat United adalah sebuah pasukan baru tetapi akan mengambil alih slot yang telah diberikan kepada Felda United berikutan pasukan itu telah membuat keputusan untuk menarik diri dari Liga Malaysia.

Jika penjenamaan semula mungkin tiada isu, tetapi sekiranya Rakyat United itu sebuah pasukan baru, bolehkah mereka mengambil alih begitu sahaja slot yang telah diluluskan kepada Felda United? Disebabkan belum ada pengumuman rasmi, maka perkara itu kekal menjadi tanda tanya.

Baca : Felda United tak jadi tarik diri, akan kembali dengan nama baru

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Abd Ghani Hassan berkata sudah ada beberapa pasukan yang melalui proses sama sebelum ini untuk terus beraksi di Liga Malaysia jadi ia bukanlah satu isu.

Sebagai contoh mudah, pada 2013 Johor FC dijenamakan semula sebagai Johor Darul Takzim manakala pada tahun ini Selangor United yang bertukar pengurusan dijenamakan semula sebagai Sarawak United untuk beraksi dalam Liga Perdana.

“Ini tidak menjadi masalah namun sebarang pertukaran atau pengambilalihan slot untuk beraksi perlu mendapat kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga MFL.

“Penjenamaan semula ini amat penting kerana sebagai liga bola sepak yang profesional, kita mahu pasukan memiliki jenama yang komersial.

“Dalam hal Felda United setakat ini kita tiada menerima sebarang pengesahan rasmi daripada Felda United mengatakan mereka mahu menarik diri, yang kita dengar hanya melalui kenyataan media tempoh hari.

“Jadi jika mereka mahu memberikan slot bertanding di Liga Malaysia kepada pasukan lain, Felda United perlu mengemukakan surat penarikan diri secara rasmi terlebih dahulu selain perlu mengemukakan dokumen yang diperlukan,” kata Abd Ghani kepada BH Sukan.

Felda United telah lulus lesen kebangsaan dan juga AFC tetapi pada 5 Oktober lalu mengumumkan hasrat menarik diri dari Liga Malaysia 2021, dipercayai kerana masalah kewangan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.