ABK 2020 : Feichtenbeiner anggap dia layak walaupun bawa Selangor hanya 4 perlawanan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Michael Feichtenbeiner menganggap pencalonannya dalam kategori jurulatih terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 Virtual adalah relevan, meskipun hanya membimbing pasukan Selangor dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super dan satu perlawanan Piala Malaysia.

Feichtenbeiner memangku tanggungjawab sebagai ketua jurulatih sementara pasukan Selangor susulan pemecatan B.Sathianathan, selepas kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Takzim pada bulan September lalu.

Dalam empat perlawanan dipimpin Feichtenbeiner, Selangor mencatat keputusan seri 3-3 menentang Uitm FC serta berpesta gol ke atas PDRM FA (7-0) dan Felda United (6-1), selain menewaskan Melaka 2-1 dalam aksi Piala Malaysia yang kemudiannya dibatalkan.

Ada segelintir yang menganggap pencalonan jurulatih dari Jerman itu kelakar dan sekadar tangkap muat untuk melengkapkan jumlah pencalonan berdasarkan jumlah perlawanan dikendalikannya, tetapi Feichtenbeiner mempunyai pendapat berbeza bagi mempertahankan keputusan itu.

“Setiap calon pasti ada kualiti, saya membawa Selangor dalam 4 perlawanan dan sebelum itu Selangor II sebanyak lapan perlawanan jadi secara keseluruhan saya mengendalikan 12 perlawanan. Jadi sudah tentu kredibiliti saya turut diukur dari situ.

“Tetapi pujian harus diberikan kepada pemain, pengiktirafan ini juga untuk pemain dan pasukan. Kalau saya memenangi sesuatu, ia pastinya untuk barisan kejurulatihan dan pasukan,” ujarnya yang memimpin Selangor II mencatat tiga menang, seri satu dan kalah empat kali – rekod yang lebih teruk berbanding lapan perlawanan pertama Sathianathan di Selangor.

ABK 2020 Virtual ABK 2020 : Feichtenbeiner anggap dia layak walaupun bawa Selangor hanya 4 perlawanan

Sembilan lagi calon dalam kategori Jurulatih Terbaik 2020 adalah Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur), Manzoor Azwira (Pulau Pinang), Akira Higashiyama (Kuching FA), Frank Bernhardt (UiTM FC), Mehmet Durakovic (Perak), Benjamin Mora (JDT) dan Aidil Shahrin Sahak (Kedah).

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pula mengakui tidak sangka dapat tercalon dalam ABK 2020 Virtual, dan berbangga dapat berada sebaris dengan jurulatih Liga Malaysia yang lebih berpengalaman.

Meskipun kali pertama diberi kepercayaan sebagai ketua jurulatih, Nafuzi membuktikan kemampuannya apabila berjaya membawa Terengganu FC menduduki tangga ketiga CIMB Liga Super 2020 sekaligus layak beraksi di saingan Piala AFC 2021.

“Saya sebenarnya masih tidak sangka dapat tercalon apatah lagi ini musim pertama saya ditugaskan selaku ketua jurulatih dan dapat berada sebaris dengan calon-calon lain yang lebih berpengalaman cukup memberi saya seribu satu rasa.

“Saya akui bukan mudah untuk galas tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi dengan kerjasama semua dalam pasukan TFC berjaya meletakkan kami di kedudukan ketiga liga dan ini adalah pencapaian yang memuaskan untuk kami semua.

“Calon pilihan yang saya rasa akan memberi saingan paling sengit adalah Mora dan Aidil Shahrin (Kedah) kerana kita tahu bagaimana dua jurulatih ini membawa pasukan dengan cemerlang saban musim dan siapa pun yang akan dinobatkan Jurulatih Terbaik nanti, saya percaya yang dipilih itu adalah yang terbaik”, jelasnya.

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.