Ada 20 perlawanan lagi, janganlah cepat melatah!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong Selangor FC diminta tidak cepat melatah selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka mengalami kekalahan seawal perlawanan kedua Liga Super.

Selangor FC dianggap antara pasukan boleh mencabar sengit Johor Darul Takzim musim ini, tetapi rata-rata penyokong Red Giants menyuarakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati dengan kualiti permainan ‘DNA Jerman’ diterjemahkan pasukan itu dalam kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC pada Selasa lalu.

Bekas jurulatih Selangor FC, B.Sathianathan berpendapat ia masih terlalu awal untuk penyokong-penyokong mengkritik corak permainan pasukan itu apatah lagi ia akan mengambil masa panjang untuk menerapkan DNA bolasepak yang dimahukan.

Malah Sathianathan menegaskan ketua jurulatih Karsten Neitzel perlu diberi lebih masa untuk membuktikan sentuhannya kerana saingan liga baru berlangsung dua perlawanan dan perjalanannya masih panjang.

“Beri masa kepada Neitzel dan barisan kejurulatihan kerana pemain ada memberitahu saya yang dia (Neitzel) adalah jurulatih yang baik. Tunggulah sehingga enam ke tujuh perlawanan lagi.

“Nak terapkan DNA bola sepak ini bukan satu perkara yang mudah lebih-lebih lagi untuk pemain pasukan utama. Kalau untuk pemain berusia bawah 18 tahun, mungkin (penerapan) boleh cepat sedikit. Sekurang-kurangnya (pasukan) perlu lima tahun untuk terapkan DNA yang dimahukan. Sebab itulah semua pihak perlu bersabar.

“Tetapi andai katalah tidak dapat seperti yang dimahukan, jurulatih tidak perlu dipersalahkan dan menjadi mangsanya. Sebaliknya mereka (pengurusan) yang memilih jurulatih pun perlu juga bertanggungjawab,” kata Sathianathan yang dipecat Selangor FC pada September tahun lalu.

Selangor FC membuka tirai saingan musim ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC pada Sabtu lalu, dan ini komen Karsten Neitzel selepas menyaksikan barisan pemainnya dijinakkan Terengganu FC.

“Corak permainan pemain tidak seperti sebelum ini. Mereka dilihat bergelut dalam penguasaan bola. Saya tidak begitu gembira dengan persembahan mereka. Malah pemain gagal meletakkan bola dalam gawang gol biarpun berpeluang untuk melakukannya.

“Namun pemain dilihat tidak berputus asa selepas jaringan kedua tuan rumah sebelum berjaya merapatkan kedudukan. Ketika ketinggalan 1-2, saya jangkakan pasukan mampu menyamakan kedudukan terutama pada 20 minit terakhir dengan banyak gerakan dicipta.

“Namun sebaliknya berlaku apabila pemain melepaskan gol ketiga dengan mudah sekali gus meranapkan impian untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.