‘Ada duit, ada nama dan kemasyuran, tapi aku tiada ketenangan’

Azmeer Yusof
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof menjelaskan sebab sebenar di sebalik keputusannya untuk meninggalkan pasukan Kedah pada bulan Jun lalu, menerusi satu video di saluran youtube peribadinya.

Tindakan pemain berusia 30 tahun itu ‘angkat kaki’ lebih awal ternyata mengejutkan ramai, dengan ada yang membuat andaian bahawa tunggakan gaji pasukan Kedah yang hangat diperkatakan sebagai punca utama dia berbuat demikian.

Azmeer pada hakikatnya sudah memberitahu bahawa tindakannya itu adalah kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan sepenuhnya tetapi kali ini dia mengambil keputusan untuk berbicara dengan lebih berani dari hati ke hati.

“Apa yang aku buat ni, itulah keputusan terbaik buat diri aku. Betul, sebagai pemain bola semua aku dapat (gaji berpuluh ribu, popular) tapi satu aku tak dapat ketenangan.

“Ketenangan ni, kita ada duit satu juta ke, dua juta ke, benda takkan dapat, susah nak dapat ketenangan ni, Allah yang bagi ketenangan, dengan cara kita mencari, jadi ketenangan ni yang aku tak dapat selama ini.

“Aku dah ada dalam dua dunia yang berbeza, bolasepak dunia yang orang kata terkenal, ada duit semua, sekarang ni aku tak bergaji tapi Allah bagi rezeki kat aku, entah macam mana hutang aku dengan bank semuanya selesai.

“Ini aku rasa macam satu benda yang sangat dasyat dalam hidup aku, sedangkan aku gaji RM40,000 dalam bolasepak, tapi hutang bertambah-tambah, hutang keliling pinggang, tak selesai, hidup aku tak pernah habis dengan masalah.

“Walaupun semua orang tengok, cakap tenang jer muka Azmeer, tapi di belakang, orang tak tahu, yang aku pun ada cerita, tentang hidup aku yang tujuh biji kereta tu, yang aku berhutang sini sana semua.

Baca : Boros dan berjoli sakan, Azmeer pernah rasa dirinya paling bodoh di dunia

“Tapi bila aku berhenti main bola, dengan izin Allah, sekarang ni aku bebas hutang, malah aku boleh beli lagi satu tanah untuk buat Pusat Pengajian Azmeer Yusof.

“Jadi aku rasa hidup aku sekarang ni, dengan duit aku dapat, walau tak sebanyak mana, tapi aku dapat rasa keberkatan, jadi keberkatan ni, orang lain takkan rasa, bila mana dia masih berterusan dapat gaji.

“Tapi kita kena tengok balik, dapat gaji tu RM40,000 ke, RM50,000 ke, duit tu pergi ke mana, jadi itu perbezaan dunia aku dengan dunia bolasepak, jadi itu sebab aku ambil keputusan ini, dan aku tak rasa menyesal berhenti main bola, walaupun nama aku tengah naik aku bagi segala-galanya kepada agama islam.

“Lagi satu, dalam dunia bolasepak, apa yang tidak ada? Perempuan, duit, semuanya ada, kita tak payah sorok la cerita ni, aku tak malu nak mengaku benda tu memang ada dalam dunia bolasepak, dan dunia hiburan, semua orang tahu benda tu.

“Sekarang ni bila aku berhenti main bola, aku bagi diri aku kepada agama islam, aku rasa aku boleh jaga agama kita, agama kita, kita jaga,” jelas Azmeer.

Sebagai rekod, Azmeer Yusof memulakan karier profesional dengan Kuala Lumpur pada 2008 dan pernah mewakili beberapa pasukan lain antaranya Proton FC, Perak, Negeri Sembilan, Pos Malaysia, ATM dan Kedah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.