Tan Sri Tony Fernandes menyatakan kesediaan untuk menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Malaysia Football League (MFL) jika diberi kepercayaan, tetapi enggan menabur janji setinggi langit tatkala dia berpendapat penyokong memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan nilai komersial liga bolasepak tanah air.
“Memang saya sukakan sukan, saya boleh lakukannya (memimpin MFL) namun saya tidak tahu sama ada saya mampu meningkatkan aspek kewangan MFL.
“Untuk dikomersialkan, bola sepak memerlukan wang, justeru adakah orang ramai bersedia membayar untuk menonton bola sepak? Bagi membolehkan MFL berubah, rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka perlu berbelanja lebih sedikit jika mahu produk berkualiti, selain stesen televisyen juga harus terlibat,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Nama Tan Sri Tony Fernandes disebut-sebut antara calon paling layak mengambil alih teraju pimpinan MFL berikutan Datuk Hamidin menyatakan mahu melepaskan jawatan Presiden MFL selewat-lewatnya selepas Aidilfitri bagi memberi fokus penuh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group yang juga pemilik kelab bolasepak Queens Park Rangers itu berkata dia boleh memberikan komitmen 100 peratus dalam menjalankan tanggungjawab namun bimbang komuniti bolasepak tidak boleh menerima kehadirannya berikutan imejnya sebagai pemain industri penerbangan.
“Bolehkah komuniti bola sepak menerima saya? Saya mengendalikan MFL, bunyinya menakutkan tetapi apa yang saya tahu ialah saya akan berikan sepenuh tenaga terhadap tugas itu. Terserah kepada komuniti bola sepak untuk memutuskan sama ada mereka mahu ‘orang penerbangan’ menyertai mereka.
“Saya tidak tahu sama ada MFL mahukan saya sebagai orang nombor satunya, tetapi jika saya diminta menjadi pengurus pasukan Malaysia, saya teringin melakukannya, segala yang berkaitan dengan sukan serasi dengan saya, saya sukakan persaingan dan saya mahu Malaysia mencipta kejayaan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Tan Sri Tony Fernandes turut menyatakan kesediaan pihak Air Asia untuk membantu memperkasa pembangunan akar umbi dan akan bekerjasama dengan FAM bagi mencungkil bakat-bakat baharu dikalangan kanak-kanak.
Malah, beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique yang mungkin boleh turun padang dan berkongsi ilmu bersama pemain muda tempatan.
“Saya juga mahu fokus dan ada bercakap dengan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) dan juga dengan Gerard Pique pemain Barcelona di mana Air Asia memang berminat untuk terbabit dalam pembangunan yang saya fikir cukup penting tubuhkan akademi.
“Saya harap kita dapat bekerjasama dengan FAM berkaitan pembangunan bola sepak di masa akan datang,” katanya.