Adi Putra Tak Puas Hati Sebab Tak Dapat Pinjam Duit

Adi Putra pelakon terkemuka
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Konflik yang tercetus di antara kelab Liga M3, Kuala Kangsar FC dan rakan penaja mereka, Yayasan Hadi milik pelakon terkemuka tanah air, Datuk Adi Putra nampaknya semakin panas.

Adi Putra baru-baru ini membuat keputusan menarik balik sokongan penajaan kepada Kuala Kangsar FC atas alasan berlakunya penyelewengan membabitkan Presiden kelab itu, Datuk Shaharol Asafali dan beberapa individu lain.

Menurut Adi Putra, penyelewengan tersebut adalah berhubung penggunaan dua surat tawaran ditandatangani Shaharol menggunakan kepala surat (letterhead) Yayasan Hadi bagi projek membaikpulih Surau Al Fallah USJ 10 Subang Jaya serta projek membekalkan komputer riba, masing-masing bernilai RM47,000 dan RM203,980.

Menerusi kenyataan media pertama baru-baru ini, Kuala Kangsar FC telah menjawab bahawa Yayasan Hadi tidak perlu tarik diri sebagai penaja sebaliknya kerjasama mereka terbatal dengan sendiri kerana perjanjian penajaan Yayasan Hadi dan pelantikan Datuk Adi Putra sebagai duta kelab hanya termeterai secara lisan tanpa dokumen hitam putih.

Berita berkaitan : “Satu sen pun tak pernah bagi, Adi Putra hanya sembang kosong”

Malah turut didedahkan bahawa Adi Putra hanya sembang kosong dan tidak pernah menghulurkan walau satu sen kepada kelab itu sepanjang mereka bekerjasama.

Manakala menerusi kenyataan media terbaru, Datuk Shaharol menjawab mengenai tuduhan penyelewengan ke atasnya dengan melabel ia sebagai tidak berasas.

Menurut Datuk Shaharol, beliau bukan sahaja mempunyai hak untuk menggunakan letterhead Yayasan Hadi atas kapasiti sebagai salah seorang pengarah yayasan itu, malah menggunakan duit poket sendiri untuk tujuan yang dinyatakan.

“Saya mempunyai hak yang sama dengan pengarah-pengarah lain dalam menggunakan kepala surat Yayasan Hadi bagi urusan rasmi membabitkan Yayasan Hadi.

“Surat tawaran yang dikeluarkan oleh saya melalui Yayasan Hadi adalah bertujuan untuk menaikkan nama Yayasan Hadi dan dalam masa sama memberi publisiti kepada yayasan melalui sumbangan yang dibuat yang dibuat bagi kerja-kerja yang dinyatakan di dalam surat tawaran dan sumber kewangan itu tidak datang dari Yayasan Hadi sebaliknya dari saya sendiri.

“Jadi kenyataan media Adi Putra pada 11 Julai, saya sifatkan tidak berasas kerana tiada implikasi yang menjejaskan nama Yayasan Hadi dan tidak ada penglibatan atau salah laku oleh Kuala Kangsar FC,” kata Datuk Shaharol.

Beliau juga mendedahkan bagaimana Adi Putra mengambil kesempatan ke atasnya sepanjang kedua-dua pihak bekerjasama.

“Seperti dinyatakan sebelum ini, kegagalan Adi Putra membawa masuk dana ke dalam Kuala Kangsar FC sebelum ini menyebabkan saya terpaksa menanggung perbelanjaan kos operasi pasukan yang dianggarkan sebanyak RM700,000.

“Saya diberi peluang untuk menjadi salah seorang pengarah di dalam Yayasan Hadi dengan syarat saya perlu membayar kos audit sebanyak RM10,000.

Saya telah menjelaskan bayaran tersebut pada 23 November kepada MSIB Corporate Consultancy dan pada tarikh itu saya dilantik Adi Putra sebagai salah seorang pengarah di Yayasan Hadi.

“Saya turut diminta menjadi salah seorang pelabur melalui perjanjian bertarikh 3 Disember 2020 bagi filem ‘Syaaban’ yang akan dikeluarkan oleh Yayasan Hadi. Pelaburan tersebut bernilai RM500,000 dan jumlah keseluruhan projek adalah RM1.6 juta.

“Sebanyak RM130,000 telah dipindahkan ke Yayasan Hadi bagi pelaburan tersebut di antara bulan Januari 2021 – Mac 2021.

“Kemudian pada awal bulan Januari 2021, saya diminta oleh Adi Putra untuk menjelaskan hutang yang melibatkan Yayasan Hadi seperti :

a) Kos sewa pejabat Yayasan Hadi yang tertunggak dari Jun 2020 hingga Disember 2020 berjumlah RM11,270;

b) Kos sewa pejabat Yayasan Hadi bagi bulan Januari 2021 hingga Mac 2020 dibayar sepenuhnya oleh saya berjumlah Rm4,830 yang sepatutnya dikongsi sama rata di antara pengarah-pengarah Yayasan Hadi;

c) Kos sewa pejabat Yayasan Hadi bagi bulan April 2021 berjumlah RM900;

d) Kos pembaikpulihan pejabat berjumlah RM4,270;

e) Gaji pemandu Adi Putra sebanyak RM2,000;

f) Trademark JAI sebanyak 6,360 serta beberapa bil yang lain.

“Pada 31 Mac 2021, Adi Putra dan isteri melalui panggilan telefon dan pesanan whatsapp meminta bantuan kewangan dari saya sebanyak RM300,000 bagi membayar kos guaman dan hutang berikutan beliau telah disaman dan perlu menghadirkan diri ke mahkamah dan kemungkinan membawa kepada kebangkrapan sekiranya gagal membuat pembayaran.

“Saya percaya kenyataan beliau (saya menyeleweng) dibuat berikut ketidakpuasan hati beliau kepada saya kerana saya tidak menyalurkan lagi bantuan kewangan kepada beliau,” ujar Datuk Shaharol sambil menyatakan telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.