AFC anggap Sanusi tidak faham pengurusan bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) meminta presiden terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertanggungjawab menyelesaikan tunggakan gaji pasukan itu, turut mendapat perhatian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata Sanusi berhak untuk mengatakan dana kerajaan bukan untuk selesaikan masalah bolasepak, tetapi untuk menyalahkan kepimpinan atau pengurusan terdahulu mencerminkan betapa beliau tidak memahami pengurusan bolasepak.

Baca : Sanusi tegaskan dana kerajaan bukan untuk selesaikan masalah bolasepak 

“Pemain menandatangani kontrak dengan pasukan atau persatuan, di mana-mana pun macam tu. Mereka bukan menandatangani kontrak dengan pengurusan.

“Jadi jika pengurusan bertukar tangan, kepimpinan bertukar tangan, mereka ambil alih aset dan liabilitinya sekali. Justeru menjadi tanggungjawab kepimpinan baru untuk selesaikan hutang tersebut.

“Ini adalah amalan standard yang sudah termaktub dalam pelesenan kelab,” kata Windsor.

Terdahulu pada Ahad, Sanusi bukan sahaja mengatakan tidak akan menggunakan dana kerajaan untuk selesaikan isu tunggakan gaji pasukan Kedah tetapi turut membidas Mukhriz sebagai punca kepada kemelut KFA ketika ini.

Baca : Sanusi persoal kenapa bekas presiden boleh tawar gaji pemain sehingga RM125,000

Menurutnya Mukhriz gagal merancang kewangan persatuan dengan betul sehingga KFA dibebani masalah hutang sekitar RM10 juta dan tidak mengukur baju di badan sendiri apabila ada pemain ditawarkan gaji sehingga RM125,000.

Tambahnya, melantiknya sebagai Presiden KFA bukan tiket untuk KFA mendapat dana kerajaan negeri.

Begitupun rata-rata penyokong Kedah dilihat menyuarakan rasa kurang puas hati dengan kenyataan Sanusi dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang tidak prihatin dengan masalah dihadapi pemain dan pegawai pasukan yang tidak menerima gaji selama lima bulan.

Malah, kenyataannya juga dianggap hadir tidak kena pada waktunya, sekadar menambah garam di luka pemain yang tetap komited menjalani latihan sebagai persiapan untuk aksi pertama Liga Super yang akan kembali bersambung pada 26 Ogos depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.