Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menganggap tindakan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membawa isu pembayaran tunggakan gaji Cassio Francisco ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) bagi memohon penangguhan pembayaran sebagai satu tindakan tepat.
Dengan tempoh masa 30 hari diberikan FIFA untuk membayar tunggakan itu berakhir pada Sabtu (23 Mei) KAFA jelas tidak dapat menyelesaikan bayaran lebih RM629,000 kepada Cassio sepertimana diarahkan.
Justeru, mereka tiada pilihan selain mengharapkan keputusan positif daripada CAS berhubung permohonan penangguhan dan pengurangan bayaran.
“Dalam struktur sukan ada badan atau jawatan kuasa. Seperti di FIFA, mengikut strukturnya ada badan disiplin, kemudian ada badan rayuan dan kemudian CAS iaitu badan bebas yang bertujuan mencari penyelesaian bagi mana-mana pihak sekali pun.
“Dalam kes melibatkan pasukan Kelantan iaitu tuntutan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus, KAFA ada hak untuk bawa kes ke CAS.
“Biasanya keputusan CAS adalah muktamad. Sekiranya permohonan KAFA untuk membawa isu tunggakan gaji ke CAS dengan ground decision ia berita baik.
“Ini kerana sekurang-kurangnya KAFA ada tempoh 45 hari melunaskan tunggakan gaji itu. Jika tidak, KAFA akan berdepan tindakan berat daripada FIFA,” kata Windsor dipetik dari Sinar Harian.
Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman sebelum ini memberitahu KAFA telah menghantar permohonan kepada CAS untuk mendapatkan penjelasan (ground decision) dan masih menanti jawapan.
Tambah Hussin lagi, berdasarkan kepada beberapa kes terdahulu, KAFA optimis rayuan mereka akan diterima CAS.
Foto : NSTP