AFC : “Jaga Padang Kerja Pihak Stadium, Takkan Nak Salahkan Hujan Atau FAM”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terkejut dan kecewa dengan situasi “padang ditakungi air dan terpaksa dialihkan menggunakan penyodok serta kadbod” yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata ia jelas merosakkan dengan teruk imej Malaysia sebagai tuan rumah, malah menganggap alasan diberikan Perbadanan Stadium Malaysia sebagai tidak relevan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tiada lagi perlawanan antarabangsa di venue berkenaan sekiranya padang tetap tidak dibaikpulih.

“Kita terkejut melihat keadaan padang dan takkan mahu menyalahkan hujan pula. Tuan punya tempat itu perlu lebih bersedia dan di sini bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena uruskan perkara itu.

“Jadinya, kita agak kecewa dengan keadaan padang yang masih lagi tidak dibaikpulih malah menggunakan alat yang tidak sesuai pula untuk membuang air atas padang.

“Saya fikir kalau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berterusan seperti ini, AFC tidak akan meluluskan lagi perlawanan di stadium berkenaan,” katanya kepada BH Sukan.

Isu membabitkan padang Stadium Nasional bukan perkara baru, ia sudah menjadi skrip yang diulang berkali-kali sejak dua dekad lalu.

Menurut bekas wartawan New Strait Times, Arnaz M.Khairul, beliau sendiri telah membuat liputan pelbagai insiden memalukan membabitkan stadium itu.

“Contohnya pada tahun 2002, apabila skuad Brazil ke Piala Dunia memilih Malaysia sebagai venue persediaan terakhir sebelum ke Korea-Jepun.
Kalau anda masih ingat ketika itu, ketara seperti bermain di atas padang pasir. Setiap kali mereka slide atau kuis bola nampak butiran pasir.

“Itu padang yang kita sediakan untuk menyambut ikon-ikon lagenda seperti Ronaldo, Ronaldinho, Cafu, Roberto Carlos, Kaka, Rivaldo, Edmilson dan lain-lain. Seluruh dunia bertanya apakah tiada padang bola yang elok di Malaysia. Malu.

“Lagi satu insiden, dalam siri Jelajah Asia Timur FC Barcelona. Ribuan peminat membanjiri stadium untuk melihat seorang saja, pemegang Ballon d’Or ketika itu, Lionel Messi. Namun sampai ke minit terakhir, Messi melekat di bangku simpanan dan tidak bermain walau sesaat pun.

“Sebab apa? Kalau tanya FAM dan KBS, tentu lain alasannya. Tetapi mudah kita rumuskan keadaan padang menjadikan ia suatu risiko yang pengurusan Messi sendiri tidak mahu ambil memandangkan musim La Liga sudah terlalu dekat.

“Ini bukan satu masalah yang tidak disedari. Malah Perdana Menteri sekarang Ismail Sabri Yaakob sendiri pun pernah cuba menanganinya dengan projek rumput kalis cuaca Marimo Paspalum ketika menjawat Menteri Belia dan Sukan pada 2008 dulu. Itu juga hanya tinggal projek dan projeknya tinggal kenangan.

“Apa lagi? Kenapa sampai perkara mudah seperti persediaan sebuah padang rumput yang elok pun begitu sukar untuk dicapai sedangkan ratusan venue bolasepak seluruh dunia tidak menghadapi masalah memalukan sebegini secara berterusan?”, soalnya.

Setakat ini empat perlawanan kelayakan pusingan ketiga telah berlangsung di Stadium Nasional, dan ada baki dua lagi aksi membabitkan Malaysia menentang Bangladesh dan Turkmenistan menentang Bahrain akan berlangsung di situ.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.