AFC mati akal, perkhabaran duka buat kem KDA FC dan Terengganu FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Saingan Piala AFC dijangka akan dibatalkan buat musim kedua berturut-turut selepas usaha Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencari venue lain untuk menggantikan Singapura yang menarik diri daripada menganjurkan pertandingan itu menemui jalan buntu.

Ini sekaligus membawa perkhabaran duka buat dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC yang ketika ini dalam persiapan fasa akhir untuk mengharungi pertandingan kelas dua Asia itu yang dijadual bermula pada 2 Julai.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, kebanyakan negara Asia enggan menganjurkan Piala AFC kerana kebimbangan penularan Covid-19 justeru tidak menolak kemungkinan Jawatankuasa Pertandingan AFC membuat keputusan membatalkan pertandingan itu didorong tiga faktor utama.

“Pertama buat masa ini tak ada negara dari kalangan pasukan yang bermain sedia menjadi tuan rumah, dan kita juga telah meminta negara berkecuali (yang tidak bertanding dalam Piala AFC) namun sama juga, tak ada yang berminat.

“Kedua, kita juga tak boleh nak tunda Piala AFC ke tarikh lain kerana kebanyakan badan induk negara masing-masing tidak mahu jadual liga mereka dirombak lagi kerana ia akan mengganggu perjalanan liga domestik.

“Ketiga, di ASEAN ini misalnya hanya Thailand sahaja yang buka pintu sempadan tetapi negara lain masih tutup disebabkan oleh Covid-19. Jadi ACL (Liga Juara-Juara Asia) akan dilangsungkan di Thailand tetapi takkan pula Piala AFC pun di sana jugak, agak mustahil dua kejohanan dilangsungkan di satu negara,” kata Windsor kepada Arena Metro.

Sebagai rekod, saingan Piala AFC 2021 menyaksikan KDA FC bimbingan Aidil Shahrin Sahak diundi di dalam Kumpulan H bersama-sama Lion City Sailors (Singapura), Persipura (Indonesia) dan Sai Gon (Vietnam).

Manakala Terengganu FC pula diundi bersama Geylang International (Singapura) dan Kaya FC (Filipina) – saingan kedua-dua kumpulan sepatutnya dilangsungkan di Singapura namun Persatuan Bolasepak Singapura membuat keputusan menarik diri disebabkan oleh situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu.

Jika Piala AFC terpaksa dibatalkan, tinggal hanya Johor Darul Takzim akan membawa untuk membawa nama negara di pentas Asia, apabila beraksi dalam saingan ACL yang bermula 22 Jun ini.

JDT akan menyepak mula saingan Kumpulan G dengan menentang Nagoya Grampus, disusuli Ratchaburi FC dan Pohang Steelers, dengan kesemua perlawanan berlangsung di Bangkok.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.