Aidil Shahrin : Berilah kredit kepada KFA, mereka teruk dikecam sebelum ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak berpendapat kredit harus diberikan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di atas usaha-usaha yang diambil untuk menyelesaikan masalah berbangkit terutamanya membabitkan kewangan.

Malah kejayaan persatuan itu melengkapkan penswastaan pasukan pada ketika ramai yang tidak yakin malah melemparkan pelbagai kecaman dan kritikan, membuatkan Aidil Shahrin terpanggil untuk berterima kasih kepada KFA.

“Sejak beberapa bulan lalu KFA dikecam, tapi saya yakin pengurusan sedang bertambah baik, dan akan menjadi lebih baik.

“Sudah tentu ada keyakinan tersebut setelah melihat mereka bertungkus lumus untuk selesaikan isu tunggakan gaji dan sebagainya dan kami semua perlu berterima kasih atas kesungguhan ditunjukkan.

“Mereka perlu diberi ruang dan tahun depan selepas bertukar daripada FA kepada FC mungkin isu-isu sama ini tidak akan berulang,” ujar Aidil Shahrin.

KFA pada musim ini dibelenggu masalah kewangan kritikal sehingga membawa kepada berlakunya tunggakan gaji lebih 4 bulan bermula bulan Februari sehinggalah Jun.

Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan pengurusan terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai punca berlaku masalah itu, dengan mendakwa mereka tidak berbelanja dengan berhemah termasuk menawarkan gaji tinggi mencecah RM125,000 kepada pemain.

Walaupun berdepan kecaman demi kecaman sejak mengambil alih tampuk pimpinan KFA termasuklah menimbulkan kekecewaan penyokong menerusi kenyataan-kenyataan ‘kurang professional’, Muhammad Sanusi berjaya memastikan segala dokumentasi yang diperlukan untuk proses penswastaan pasukan dilengkapkan tepat pada waktunya.

Persatuan Bolasepak Malaysia dalam satu sidang media pada Isnin lalu memaklumkan KFA antara lapan pasukan yang bukan sahaja diberikan lesen untuk bermain di Liga Malaysia 2021 tetapi turut diberi lesen AFC untuk bermain di pentas Asia (sekiranya layak).

Mengenai persoalan bagaimana KFA boleh tiba-tiba lulus pelesenan dan penswastaan sedangkan mereka masih belum menyelesaikan tunggakan gaji sepenuhnya, FAM menjelaskan ini kerana pasukan Kedah telah mendapatkan persetujuan daripada anggota pasukan untuk melaksanakan pembayaran secara berperingkat.

“Persetujuan itu dalam bentuk bertulis, telah dibaca, difahami dengan jelas dan ditandatangani oleh semua pemain dan pegawai pasukan bahawa mereka bersetuju KFA membayar tunggakan itu secara berperingkat.

“Jadi tidak timbul sebarang isu apabila sudah ada persetujuan bertulis, pemain atau pegawai tidak boleh secara tiba-tiba mengatakan mana ada saya bersetuju kerana mereka sendiri telah tandatangan dan satu salinan dihantar kepada FAM,” kata Stuart Ramalingam, Setiausaha Agung FAM kepada Labola Malaya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.