Aidil Shahrin : KFA nak berunding apa lagi, sepatutnya sudah tiada pemotongan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali pasukan Kedah, Aidil Shahrin Sahak berharap agar Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berpegang kepada apa yang telah dipersetujui sebelum ini berhubung pemotongan gaji anggota pasukan, dan tidak membuat sebarang rundingan baru.

Kebimbangan Aidil Shahrin itu timbul berikutan KFA dilaporkan masih mahu berunding mengenai pembayaran baki tunggakan gaji.

Setakat ini KFA sudah menyelesaikan pembayaran baki gaji bagi bulan Mac serta keseluruhan gaji bagi bulan Julai, bermakna masih ada tunggakan tiga bulan gaji iaitu bagi bulan April, Mei dan Jun – dan mengikut ketetapan Persatuan Bolasepak Malaysia sepatutnya sudah tiada lagi pemotongan.

“Apa yang ditetapkan oleh FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia), pembayaran bulan Mac perlu diselesaikan sebelum bulan Mei atau Jun dan pembayaran selepas itu sepatutnya tidak boleh ada pemotongan.

“Jadi, saya fikir pemain sudah berpegang kepada kenyataan itu dan kita perlu berlaku adil kepada mereka. Kami bukannya tidak mahu bertolak ansur tetapi mereka sudah lama bersabar biarpun tidak menerima gaji,” katanya.

Aidil Shahrin bagaimanapun memberitahu pemain mungkin terbuka untuk berunding seandainya pembayaran penuh dibuat, dan bukannya secara berperingkat.

“Pihak pengurusan juga perlu memahami juga mengenai situasi yang dihadapi pemain dan pegawai.

“Melainkan mereka boleh menyelesaikannya (pembayaran) secara sekali gus, kami boleh berbincang lagi untuk melakukan sedikit pemotongan.

“Tetapi sehingga saat ini, kami belum mendapat sebarang berita mengenai bila mereka akan melakukan perbincangan berkaitan pemotongan itu,” kata Aidil Shahrin.

Kemelut tunggakan gaji pasukan Kedah merupakan antara isu paling hangat arena bolasepak tempatan musim 2020.

Ianya meletus selepas pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan beberapa pasukan termasuk Kedah untuk menyelesaikan dulu tunggakan gaji sebelum bercakap mengenai pemotongan gaji gara-gara Covid-19.

Sebagai reaksi balas KFA kemudiannya memberitahu dana kerajaan negeri telah digunakan untuk perkara lebih penting dan berjanji tunggakan gaji akan diselesaikan menjelang Aidilfitri (pada Mei) namun sekadar janji kosong.

Kemudiannya berlaku peralihan pucuk pimpinan disebabkan pertukaran kerajaan negeri memaksa isu tunggakan gaji terus meleret sehingga ke hampir lima bulan sebelum penantian itu terlerai pada awal bulan ini apabila Presiden baru KFA, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu bayaran gaji Julai telah dibayar penuh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.