Aidil Shahrin lega namun tetap terselit kebimbangan

Aidil Shahrin jurulatih KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak jelas lega pasukannya mempunyai tempoh masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2021 bermula hujung bulan depan.

Kedah telah diundi bersama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura di dalam Kumpulan H.

Namun, di sebalik kelegaan itu ada terselit kebimbangan – Aidil Shahrin khuatir sekiranya dalam tempoh rehat panjang Liga Malaysia ini berlaku sekali lagi sebarang kecederaan yang tidak diingini sepertimana awal musim tempoh hari apabila Kedah  kehilangan beberapa tonggak utama seperti Syazwan Tajudin, Renan Alves dan Ariff Farhan Md Isa.

Kesemua mereka sudah kembali beraksi dan Aidil Shahrin mengesahkan ketika ini hanya Syazwan Zainon seorang sahaja tersisih kerana kecederaan ACL.

“Kita akan kembali berlatih pada Jumaat ini dan banyak perbincangan akan dilakukan nanti untuk kita perbaiki semua kelemahan yang ada di mana kita akan menggandakan sesi latihan bagi kekalkan tahap kecergasan fizikal pemain.

“Saya rasa sekarang kami tiada masalah daripada segi prestasi selepas menilai 13 perlawanan apabila kita hanya tewas dua kali, cuma yang penting adalah konsistensi pemain-pemain di mana hanya Syazwan sahaja yang tiada bersama kita kerana ACL.

“Sekarang saya akan merancang beberapa aksi persahabatan yang kita boleh lakukan dan semuanya akan kita pantau juga dengan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” jelas Aidil Shahrin.

Menjelang aksi pertama mereka untuk Piala AFC berdepan Persipura Jayapura pada 29 Jun, pengendali dari Singapura itu tidak menolak aksi pertama itu akan berlangsung sengit biarpun skuad kendalian Jacksen F Tiago ini dilihat pasukan bukan pilihan berbanding dua lagi lawan mereka.

Apa yang pasti, Aidil Shahrin enggan letak sasaran awal sebaliknya ingin menghadapi satu demi satu perlawanan tanpa memberi tekanan kepada barisan pemain.

“Saya ada memantau beberapa aksi yang ditampilkan oleh Persipura sebelum ini dan saya boleh katakan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh persediaan ini.

“Cuma saya tidak mahu letak ramalan apa-apa kerana saya nak pergi dari satu aksi ke satu aksi terlebih dahulu.

“Jika kita dapat keputusan positif untuk perlawanan pertama ini, mungkin kita akan lihat daripada situ untuk letak sasaran bagaimana,” jelasnya.

Saingan Liga Malaysia 2021 ketika ini sedang berehat sehingga 9 Julai bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.