Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakAidil Shahrin sasar tiga perlawanan pertama untuk dapatkan momentum

Aidil Shahrin sasar tiga perlawanan pertama untuk dapatkan momentum

Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDAFC) Aidil Shahrin Sahak mahu pasukannya menyepak mula aksi Liga Super yang kembali bersambung selepas rehat lebih dua bulan, dengan nota kemenangan.

Walaupun tidak dapat menguji kekuatan pasukan disebabkan kekurangan aksi persahabatan berintensiti tinggi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan kekangan Covid-19, Aidil Shahrin berpendapat motivasi pasukannya berada pada tahap terbaik.

“Walaupun kita tidak dapat mengadakan lebih banyak perlawanan, latihan secara dalaman yang dilakukan tetap dapat menerapkan ‘team bonding’ atau jalinan persefahaman lebih rapat sesama pemain dan ini juga sesuatu yang positif buat pasukan.

“Faktor persefahaman inilah yang penting dan kita mahukan untuk mereka bawa masuk ke dalam padang apabila liga bersambung nanti,” kata Aidil Shahrin.

Aidil Shahrin juga mensasarkan tiga perlawanan pertama bermula dengan menentang Penang FC pada Sabtu (24 Julai) di Stadium Darul Aman untuk pasukannya mendapatkan semula momentum, dan terus menghambat kedudukan Johor Darul Takzim yang ketika ini mendahului mereka dengan kelebihan empat mata.

KDAFC berada di tangga ketiga dengan 26 mata, manakala Terengganu FC pula di tangga kedua dengan 27 mata.

Selepas pertembungan dengan Penang FC, skuad Lang Merah akan bertandang ke Petaling Jaya untuk menentang PJ City pada 27 Julai dan kembali ke Alor Star untuk menentang Uitm FC pada 31 Julai.

“Apa yang penting adalah, kita perlu dapatkan tiga mata untuk permulaan sambungan perlawanan liga bertemu Penang FC ini untuk mendapatkan momentum peningkatan selanjutnya.

“Pada saya tiga perlawanan terawal yang akan bermula selepas ini adalah aspek paling penting untuk kita dapatkan momentum yang dikehendaki, dan selepas mendapat momentum yang baik dalam tiga perlawanan itu, kita berharap momentum itu dapat ditingkatkan dalam menjalani perlawanan seterusnya nanti,” ujar pengendali dari Singapura itu.

Sebagai rekod, KDAFC sepatutnya beraksi di Piala AFC bersama-sama Terengganu FC tetapi saingan yang dijadualkan bermula pada hujung bulan Jun terpaksa dibatalkan berikutan kegagalan AFC untuk mencari tuan rumah zon ASEAN selepas Singapura menarik diri.

Foto ehsan : kedahdarulamanfc.com

 

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.