Aidil Shahrin sifatkan tidak masuk akal, kecewa dengan pembuat keputusan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak meluahkan rasa kecewa selepas venue perlawanan menentang Melaka United pada Ahad (4 Oktober) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, ditukar ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Tarikh perlawanan juga dipinda ke 5 Oktober (Isnin).

Ini menjadikan skuad Lang Merah akan bermain lima perlawanan Liga Super berturut-turut di tempat lawan dan Aidil Shahrin menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal.

“Cukup bersimpati dengan pemain-pemain saya, mereka bekerja keras untuk diri sendiri, keluarga dan maruah tetapi disebabkan keputusan teruk dibuat seseorang kita akan bermain 4 perlawanan (5 termasuk Perak aksi terakhir) di tempat lawan.

“Seseorang mengatakan kes (Covid-19) di Kedah adalah tinggi tetapi bilangan yang tinggi itu adalah di dalam penjara bukannya awam,” tulis Aidil Shahrin di instagram peribadinya.

Aidil Shahrin kecewa Aidil Shahrin sifatkan tidak masuk akal, kecewa dengan pembuat keputusan

Dalam posting yang sama itu Aidil Shahrin meletakkan hashtag #doesntmakesense (tidak masuk akal); #bigjoke (lawak sungguh); #whomakedecisions (siapa buat keputusan); #noteamplay4gamesawayinarow (tiada pasukan bermain 4 perlawanan berturut-turut di tempat lawan) dan #theymakedecisionlastminute (mereka buat keputusan saat akhir).

Sejak Liga Malaysia kembali bersambung, Kedah telah beraksi tiga perlawanan di luar Alor Star iaitu menentang Felda United (Jengka); Sabah (Kuala Lumpur, sepatutnya di Darul Aman) dan Pahang (Kuantan).

Mengikut jadual sebenar, perlawanan menentang Melaka United sepatutnya berlangsung pada Jumaat (2 Oktober) tetapi ditunda ke 4 Oktober di atas permintaan oleh Persatuan Bolasepak Melaka memandangkan mereka sedang menjalani kuarantin setelah pulang dari Sabah.

Selepas perlawanan menentang Melaka United, Kedah akan bertandang pula ke Ipoh untuk perlawanan terakhir liga menentang Perak pada 10 Oktober.

Sementara itu, Malaysian Football League dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti permohonan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) kepada MFL dan persetujuan bersama kedua-dua presiden iaitu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

“Mereka bersetuju untuk meminda tarikh dan venue perlawanan yang dijadual di Stadium Darul Aman, Alor Setar ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras disebabkan khuatir dengan keadaan COVID-19 di Kedah berada dalam paras yang membimbangkan.

“Jadi bagi memastikan kelancaran perlawanan itu, kedua-dua pasukan telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2020,” katanya CEO MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.