Aidil Sharin Buktikan Kebijaksanaan Dalam Penggiliran Pemain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penggiliran pemain yang membawa impak!

Begitulah boleh disimpulkan selepas Kedah Darul Aman (KDAFC) menjinakkan Penang FC 4-1 dalam aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Pengendali KDAFC, Aidil Sharin Sahak sendiri mengakui penggiliran pemain amat penting buat pasukannya ketika ini dalam menghadapi jadual padat beraksi sembilan perlawanan dalam tempoh 30 hari, sambil menyifatkan pemain yang diturunkan dalam kemenangan ke atas Penang FC beraksi cemerlang untuk meraih tiga mata.

Aidil Sharin melakukan sedikit rombakan apabila merehatkan Anumanthan Kumar dan penjaga gol Shahril Sa’ari dalam kesebelasan utama untuk mereka bersedia bagi aksi lebih getir berdepan Terengganu FC, Sabtu ini.

Meskipun tanpa dua pemain utama itu selain tonggak import, Renan Alves yang digantung perlawanan susulan kad merah ketika aksi menentang Selangor FC, ia tidak merencatkan kegarangan dan nafsu KDAFC.

Ifwat Akmal yang diberi kepercayaan untuk mengawal gawang juga beraksi dengan cemerlang selepas kali terakhir diletakkan dalam skuad utama pada aksi Piala Sumbangsih, Mac lalu sebelum mengalami kecederaan.

“Anumanthan telah meraih dua kad kuning, jadi saya tidak mahu mengambil risiko meletakkan dia dalam kesebelasan utama sebab kita masih perlukan dia untuk aksi lebih getir menentang Terengganu nanti.

“Shahril juga perlukan rehat dengan jadual yang padat ini, jadi peluang saya berikan kepada Ifwat pula untuk menjadi penjaga gol utama pada perlawanan ini.

“Saya rasa sekarang adalah masa sesuai untuk kita lakukan penggiliran pemain dengan lebih kerap kerana banyak aksi-aksi penting kita perlu tempuh, bergantung kepada siapa lawan kita.

“Semua pemain saya akan kerahkan untuk kita sentiasa bersedia bagi setiap perlawanan, dan mereka telah melakukan tugas cukup baik menentang Penang untuk kita raih tiga mata,” jelas Aidil Sharin.

Sementara itu, pengendali Penang FC, Thomas Trucha mengakui tersilap percaturan menyebabkan pasukannya berputih mata menentang KDAFC.

Tetapi, beliau tidak menganggap ketiadaan empat pemain import iaitu Casagrande, Endrick Dos Santos, Rafael Vitor serta Ryuji Utomo menjadi punca utama kepada kekalahan tersebut.

“Saya perlu gunakan pemain-pemain yang ada untuk mereka tetap bekerja keras tidak kira siapa pun yang diturunkan dalam aksi itu.

“Saya tidak rasa ketiadaan mereka jadi sebab utama, kerana punca utama adalah percaturan yang tidak menjadi dan untuk dapatkan keputusan yang baik, memang kena perlukan latihan yang betul-betul baik tidak kira pemain mana yang akan bermain”, katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.