Aidil Sharin : “Terengganu Serba Sempurna, Memang Layak Duduk No.2”

Aidil Sharin anggap kelebihan milik TFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dengan Johor Darul Takzim (JDT) dilihat begitu ampuh menerajui Liga Super dan sukar untuk dikejar, sasaran lebih realistik untuk pencabar terdekat mereka adalah kedudukan kedua.

Persaingan dilihat sengit di antara empat pasukan iaitu Terengganu FC yang menghuni tangga kedua dengan 37 mata, Penang FC di tangga ketiga dengan 31 mata diikuti KDAFC dan Selangor FC – masing-masing mengumpul 26 mata.

KDAFC bagaimanapun beraksi kurang lima perlawanan berbanding Terengganu FC dan berpeluang untuk kembali mengejar merampas kedudukan kedua.

Begitupun ketua jurulatih KDAFC, Aidil Sharin Sahak mengakui ia semakin sukar untuk pasukannya mengulangi pencapaian muncul naib juara Liga Super tahun lalu sambil menyifatkan kelebihan milik Terengganu FC yang kian konsisten serta serba lengkap dalam segala aspek.

“Terengganu sememangnya layak berada di atas sekarang kerana kalau nak dibandingkan dengan kami, memang berbeza.

“Kami pada awal musim berlaku banyak kecederaan termasuk Renan Alves sebelum ini, tetapi berbeza dengan Terengganu, mereka sentiasa ada pemain yang boleh ditukar ganti disebabkan ada pasukan Reserve Team.

“Jika tiada David Da Silva, sekurang-kurangnya mereka ada Jordan Mintah dan itu menjadikan mereka sebenarnya adalah pasukan yang serba serbi lengkap dan seharusnya mereka di tempat kedua sekarang.

“Tetapi kami juga masih ada harapan dan kita akan cuba sehabis baik untuk fokus satu demi satu perlawanan untuk kejar balik kedudukan yang sepatutnya,” ujar Aidil Sharin.

KDAFC akan turun buat pertama kali selepas rehat panjang pada Jumaat, menentang Selangor FC dan Aidil Sharin berpendapat dia boleh membariskan skuad terbaik dengan hanya Ariff Farhan yang digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

Menyifatkan Selangor ketika ini dalam momentum terbaik selepas dua kemenangan terdahulu, Aidil Sharin mahu setiap pemain memberikan komitmen lebih 100 peratus.

“Hanya Ariff Farhan yang digantung, manakala yang lain dalam keadaan baik cuma kita boleh jangkakan aksi menentang Selangor akan berlangsung cukup sengit sebab dah lama tidak bermain.

“Kalau dengan keadaan pasukan saya dah tiga bulan tidak beraksi tanpa satu pun aksi persahabatan dapat diadakan, semestinya kita akan jangkakan perlawanan yang lebih berbeza.

“Selangor dah bermain empat perlawanan, jadi sudah tentu tahap permainan mereka akan lebih baik, tetapi kita akan cuba yang terbaik”, katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.