Aidil Zafuan : ‘Belum ada penyerang sebagus Khalid Jamlus’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Belum ada penyerang sebagus Khalid Jamlus,” itu reaksi pertahanan berpengalaman pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang mengakui begitu mengagumi ketenangan bekas penyerang kebangsaan itu dalam melakukan sentuhan penyudah.

Aidil Zafuan yang kini bersama Johor Darul Takzim mempunyai pengalaman bermain menentang Khalid ketika pemain itu mewakili Kelantan pada 2009, dan dia menyenaraikan penyerang legenda Perak itu dalam kesebelasan terbaik sepanjang zaman pilihannya.

“Saya pernah ada pengalaman bermain menentang Khalid ketika saya masih bersama Negeri Sembilan, walaupun ketika itu dia di hujung karier, tetapi saya fikir belum jumpa mana-mana penyerang sepertinya sehingga kini. Paling buat saya kagum, ketenangannya semasa mendapat bola dan dia seorang bijak serta sentiasa berfikir dalam mencari ruang bagi menjaringkan gol.

“Dia bukan jenis seorang yang suka berlari merata-rata dan tidak gopoh dalam membuat keputusan,” kata Aidil yang memilih bekas penyerang import sensasi Kedah, Marlon Alex James sebagai gandingan Khalid dalam kesebelasan pilihannya.

Di barisan pertahanan, Aidil menyenaraikan Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom, Norhafiz Zamani Misbah dan S.Kunanlan manakala Yazid Yassin sebagai penjaga gol. Bekas pemain Argentina yang pernah beraksi dengan JDT pada 2013 dan 2014, Pablo Aimar dan Idris Karim mengisi bahagian tengah manakala Liew Kit Kong selaku pemain sayap kiri diikuti Hardi Jaafar di sayap kanan.

Kesebelasan terbaik Aidil Zafuan : 'Belum ada penyerang sebagus Khalid Jamlus'

“Pengalaman bermain dengan Aimar juga antara pengalaman terindah buat saya kerana kita tahu dia antara pemain berkelas dunia.

“Manakala Hardi dan Idris Karim antara pemain senior yang banyak memberi tunjuk ajar serta membimbing saya ketika di awal penglibatan dalam bola sepak.

“Mereka berdua mempunyai personaliti yang tidak serius di luar padang serta disukai ramai pemain muda tetapi bila hari perlawanan, mereka cukup serius.

“Khairul Anuar Baharom pula merupakan idola saya sebelum masuk skuad senior Negeri Sembilan serta ada daya kepimpinan dan ketegasan di atas padang,” katanya.

Foto : Foxsports

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.