Aidil Zafuan, pemain paling berjaya, paling banyak menang trofi dalam Liga Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak diketahui sebagai pemain berpengalaman luas tetapi mungkin tidak ramai yang sedar dia juga memegang status pemain paling berjaya dalam arena Liga Malaysia.

Tonggak ampuh barisan defensif Harimau Selatan dan kapten skuad kebangsaan Harimau Malaya itu telah memenangi keseluruhan 16 piala utama dalam kariernya (tidak termasuk lima trofi Piala Sumbangsih) sejak mula mewarnai kancah bolasepak tempatan pada tahun 2006.

Aidil Zafuan baru berusia 19 tahun ketika dia dihadiahkan penampilan sulung dalam kempen Liga Super 2006 bersama skuad juara Negeri Sembilan oleh K.Devan, dan ia menjadi titik tolak kepada perjalanan gemilang karier professional pemain produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini.

Baca : Kisah K.Devan julang Liga Super tiga kali dalam lima musim

Mewakili negeri kelahirannya itu sehingga tahun 2011, Aidil Zafuan berjaya menambah tiga lagi trofi iaitu Piala Malaysia pada 2009 dan 2011, serta Piala FA pada 2010. Dia juga mempunyai medal naib juara Piala Malaysia 2006 dan 2010.

Dia berhijrah ke skuad berbelanja mewah ATM pada 2012, dan pada musim tunggalnya bersama skuad kendalian B.Sathianathan itu, dia membantu pasukan menjulang kejuaraan Liga Premier Malaysia dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pada 2013, Aidil Zafuan dipancing JDT dan menjadi salah seorang daripada 10 pemain berprofil tinggi tempatan pertama menyertai revolusi pasukan itu bersama-sama saudara kembarnya Zaquan Adha.

Setelah menamatkan musim sulung di Larkin tanpa sebarang trofi, pemain berusia 33 tahun ini memahat nama dalam sejarah bolasepak tempatan dengan menjulang 11 trofi iaitu tujuh kejuaraan Liga Super berturut-turut dari 2014 – 2020; Piala FA 2016; Piala Malaysia 2017 dan 2019 dan kejayaan yang paling gemilang sudah tentunya Piala AFC 2015.

Jika dicampur trofi Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) yang dimenangi bersama JDT pada 2015, 2016, 2018, 2019 dan 2020, menjadikan keseluruhan trofi pernah dimenangi Aidil Zafuan bersama pasukan kelab adalah sebanyak 21 trofi.

Tidak ada pemain Liga Malaysia lain dengan pencapaian sama seperti itu, JDT menjadikan Aidil Zafuan ‘history-maker’.

Bersama pasukan kebangsaan pula, pemain ini memenangi Pestabola Merdeka 2007 dan pingat emas Sukan SEA Laos 2009.

Aidil Zafuan pernah dinobatkan sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Liga Malaysia di Anugerah Bolasepak Kebangsaan sebanyak lima kali pada 2009, 2010, 2012, 2015 dan terbaru ABK Virtual 2020, lantas menjadi justifikasi tepat dia adalah pemain paling berjaya dalam arena Liga Malaysia.

Dengan dia masih kekal menyarung jersi JDT bagi musim 2021, berkemungkinan besar koleksi kejuaraannya akan semakin bertambah.

Koleksi kejuaraan dimenangi Aidil Zafuan sebagai pemain professional :

Liga Super : 8 kali (2006, 2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2020)

Piala FA : 2 kali (2010, 2016)

Piala Malaysia : 4 kali (2009, 2010, 2017, 2019)

Piala AFC : 1 kali (2015) 

Piala Sumbangsih : 5 kali (2015, 2016, 2018, 2019, 2020)

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.