Aidil Zafuan : “Tak Boleh Elak Kesilapan, Tapi Janganlah Terlalu Banyak”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mengambil kira kekuatan pasukan dan prestasi semasa, Harimau Malaya boleh menjangkakan aksi yang sukar apabila turun bertemu Jordan pada Rabu di Stadium Raja Abdullah II.

Begitupun kapten pasukan Aidil Zafuan Abdul Radzak berpendapat ia bukan alasan untuk skuad kebangsaan yang berada di ranking ke 156 dunia mengalah awal dan yakin mereka tetap boleh mendapatkan keputusan positif jika kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah.

“Buat masa ini saya dan rakan-rakan perlu sentiasa fokus dengan permainan kita dan tidak perlu fikirkan kekuatan lawan kerana akan menghadirkan rasa gugup dan tekanan dalam kalangan pemain, paling penting kami semua perlu ikut segala taktikal.

“Memang akan ada kesilapan cuma kita tidak boleh melakukan kesilapan yang banyak, bertemu dengan pasukan seperti Jordan malam esok sebarang, kesilapan akan membunuh permainan jadi kami perlu lebih fokus,” jelasnya pada sidang media online bersama wartawan Malaysia.

Sementara itu, Tan Cheng Hoe pula memberitahu pendekatan bertahan bukanlah strategi pilihannya bagi mengekang asakan pemain tuan rumah yang dibimbing pengendali dari Iraq, Adnan Hamad dan akan tetap bermain menyerang.

“Memang kita nampak dengan jurulatih baharu ini cara mereka bermain agak berbeza, malah kita juga tahu dari segi teknik dan fizikal Jordan ada kelebihan.

“Sudah tentu setiap kali kalau jumpa pasukan yang lebih tinggi daripada kita… kita kena bersedia dari segi serangan mereka terutama serangan balas atau kadang-kadang mengejutkan dengan kelajuan yang pantas.

“Dalam hal ini, pemain kita khususnya dan pertahanan kena berjaga-jaga dan di samping itu, kita juga tak boleh nak bertahan sepanjang 90 minit dengan pasukan seperti Jordan.

“Kita kena bermain seperti mana yang kita pernah main sebelum ini di mana kita menyerang sebagai satu pasukan dan bertahan sebagai satu pasukan juga,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak 20 tahun lalu, skuad negara hanya mampu seri sekali dalam tiga aksi persahabatan yang diadakan iaitu pada 2009 dengan selebihnya tewas tipis 0-1 pada 2002 dan 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.