‘Airmata tanda terima kasih, semoga Allah membalas kebaikan mereka’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas atlet boling padang para negara, Halimah Hassan tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dengan kehadiran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menziarahi rumahnya yang terjejas teruk selepas ditenggelami banjir kilat pada Sabtu lalu.

Skuad YAKEB Prihatin diwakili bekas atlet menembak kebangsaan Datuk Sabiamad Abdul Ahad dan Pengurus Besar Zuhairi Abdul Manaf telah datang melihat sendiri keadaan rumah Halimah pada Selasa, sambil menyampaikan Skim Bantuan Khas Bencana Alam YAKEB berjumlah RM500 kepadanya.

“Jika ada yang masih mengambil tahu dan mengambil berat, ianya adalah YAKEB. Selepas mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa akak, YAKEB terus datang bagi bantuan, akak tak tahu nak kata apa … sudah banyak kali mereka bantu akak, semoga Allah membalas kebaikan mereka” katanya sebak.

“Kejadian berlaku pantas, kami (suami isteri) tak tahu nak selamatkan barang mana terlebih dahulu. Kami sama-sama cacat fizikal. Air naik sampai paras pinggang, segala sijil yang akak dapat, sijil kemahiran dan semua sijil pencapaian juga musnah,” katanya.

Sebagai rekod, Halimah juga merupakan salah seorang daripada 200 atlet yang menerima bantuan menerusi dana RM100,000 Pro-Aktif KBS yang disalurkan kepada YAKEB pada bulan April lalu.

Beliau pernah mewakili negara selama 9 tahun dari 2006 – 2014 dengan pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat emas di Kejohanan Fespic Para ASEAN 2006 dan pingat gangsa di Para ASEAN 2014.

“Kita merancang untuk membantu Halimah membaikpulih rumahnya menerusi Program Home Make Over, program di mana kita pilih rumah ahli (YAKEB) yang daif untuk diubahsuai sikit jadi cantik, untuk kesenangan mental mereka.

YAKEB lawat rumah Halimah yang terjejas 'Airmata tanda terima kasih, semoga Allah membalas kebaikan mereka'

“Kita juga telah tawarkan beliau sertai Kursus Kemahiran dan Keusahawanan anjuran YAKEB dengan kerjasama Yayasan Hasanah, untuk bantu beliau pulihkan ekonomi isi rumah,” kata Zuhairi.

Dalam perkembangan lain, Datuk Sabiamad berharap akan ada berita gembira buat bekas atlet daripada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican.

YAKEB dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Reezal pada minggu ini bagi membincangkan mengenai peruntukan yang akan disalurkan KBS kepada yayasan itu yang memperjuangkan kebajikan bekas atlet.

“Saya dengar ini kali pertama KBS bersedia untuk salur dana kepada YAKEB, ia tidak menghairankan kerana saya tahu Dato’ Sri Reezal seorang yang cukup prihatin dengan kebajikan bekas atlet.

“Ketika PKP tempoh hari, beliau telah menyalur peruntukan RM100,000 yang diberikan kepada 200 atlet terkesan. Jadi semoga perjumpaan nanti membawa khabar ceria,” kata Sabiamad yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah YAKEB.

Sebelum ini bekas Raja Pecut Asia, Datuk Rabuan Pit turut menyuarakan pandangan sama agar kerajaan mahupun syarikat swasta tampil menyalurkan dana untuk tujuan rawatan dan sokongan kepada bekas atlet.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed memberitahu sekiranya yayasan itu mempunyai dana sekitar RM1.7 juta, mereka tidak akan bermasalah untuk mengeluarkan semula surat jaminan (guarantee letter) kepada bekas atlet mendapatkan rawatan di Hospital Swasta.

Buat masa ini, semua kes dirujuk ke Hospital Kerajaan dan bekas atlet akan mendapat pengecualian caj perubatan mengikut Skim Baru yang dilaksanakan sejak Julai tahun lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.