Akhirnya Jurulatih Ziyad Mengaku Bertanggungjawab Dan Bukan Kerana Ukraine Sabotaj

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jurulatih Ziyad Zolkefli, Faizul Haron tampil mengaku bahawa beliau bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dalam isu pembatalan kemenangan atlet itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, pada Selasa lalu.

Faizul juga menegaskan isu tersebut tiada kaitan dengan sabotaj daripada lawan sebaliknya berlaku kerana sedikit kesilapan teknikal.

“Saya mohon kepada semua pihak yang mencari siapa bersalah, siapa yang tidak bersalah, saya selaku kepada jurulatih ziyad, orang yang dekat dengan ziyad, saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku.

“Jangan menuding jari kepada orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Menurut Faizul lagi, mereka sebenarnya telah tiba awal, kira-kira jam 5.55 petang (acara bermula jam 6.00 petang) namun ditahan dan tidak dibenarkan masuk ketika hampir di ‘call room‘.

“Kami sampai awal dekat trek, dalam 4.15 petang. Bila kita dah sampai, Ziyad ‘warm up‘ dari 4.45 petang sampai 5.30 petang. Dalam proses dari 5.30 ke 5.45 petang, kita ‘prepare‘ untuk Ziyad, kita urut sikit sebab Ziyad kata ada rasa tegang otot.

“5.45 petang, kita bergerak dari trek ke ‘call room‘. Kita dah buat kiraan kalau dari trek, lebih kurang 8 ke 10 minit. Kalau jalan laju, dalam 5 ke 6 minit. Bila sampai ‘call room‘, kita tak bergegas pun, kita jalan biasa, saya bagi nasihat dan semangat kepada Ziyad.

“Depan kita ada atlet Greece, dia sampai dan boleh masuk dan kami ditahan. Kami tengok masa, 5.55 petang. Bila ditahan, kita rayu untuk masuk, dia (pegawai pertandingan) suruh tunggu.

“Selepas itu, atlet Australia dan Ecuador ada di belakang, mereka minta masuk. Pada masa sama, pembantu pengadil panggil atlet lompat tinggi masuk.

“Masa itu kita rayu lagi untuk masuk tapi pegawai kata Sorry, you are late. Dia tunjuk jam dah 5.56 petang. Saya lihat masa itu peserta kategori Ziyad ada di ‘call room 1’, belum bergerak lagi ke ‘call room 2’.

“Sebab itu kita minta masuk tapi bila pagar tutup, jurulatih Ukraine lakukan provokasi kepada pembantu pengadil. Dia kata kalau benarkan Ziyad masuk, dia akan protes. Lepas bercakap dengan Ketua Pengadil, Ziyad dibenarkan masuk, dan selepas itu saya kembali ke dalam stadium.

“Saya tidak tahu apa-apa (berkaitan penyertaan dibatalkan). Selepas lontaran ketiga, saya dimaklumkan pegawai yang Ziyad ‘DNS’ (Did Not Start). Kalau saya tahu awal, saya tak benarkan Ziyad bertanding,” katanya menjelaskan insiden yang berlaku.

Muhammad Ziyad dan Faizol tiba di KLIA pada Jumaat kira-kira jam 6.43 petang bersama tujuh lagi atlet dan pegawai termasuk pemenang pingat perak, Chew Wei Lun.

Pada Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Ziyad Zolkefli dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Pembatalan pingat emas Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.