Akhirnya Sri Pahang tunjuk belang sebenar dengan jinakkan Kelantan United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC menceriakan penyokong mereka yang bermuram durja dengan prestasi hambar dalam saingan Liga Super, apabila menjinakkan Kelantan United 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur.

Sri Pahang FC dikecam teruk penyokong sendiri berikutan telah mengalami tiga kekalahan dalam lima perlawanan pertama Liga Super 2021, bermula dengan tewas 1-3 di tangan Selangor FC dan kemudiannya 0-2 kepada Perak FC.

Kekalahan terbaru adalah 0-1 di tangan PJ City FC yang tidak ada seorangpun import pada aksi terakhir sebelum liga berhenti rehat bagi memberi laluan kepada kem latihan skuad kebangsaan.

Lebih memalukan Sri Pahang berada di kedudukan kesebelas dari 12 pasukan, dan di bawah Melaka United yang baru-baru ini telah ditolak tiga mata membuatkan ramai yang bimbang pasukan itu akan bergelut di zon penyingkiran musim ini.

Tempoh rehat panjang ini digunakan sebaiknya pengurus pasukan yang juga pemangku ketua jurulatih Dollah Salleh untuk mencari formula dan resipi mengembalikan kekuatan pasukan itu yang sebelum ini sentiasa dianggap sebagai pencabar kuat Liga Super.

Menentang Kelantan United yang beraksi dalam Liga Premier, Dollah Salleh membariskan adunan pemain utama dan simpanan di dalam kesebelasan utama, dengan beberapa pemain muda mendapat tempat termasuklah Ashar Al Afizz dan Nur Izzat Che Awang yang mengambil tempat Pedro Hendrique.

Baqiuddin Samsudin pula mengisi tempat Nur Azam Azih yang bersama Harimau Malaya.

Nur Izzat membalas kepercayaan yang diberi apabila meledak jaringan sulung pada minit ke-18 dan kemudiannya pemain import Yevhen Bokhashvili mengukuhkan kedudukan pada minit ke-42 untuk Sri Pahang masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan 2-0.

Meskipun hanya perlawanan pemanas badan, Sri Pahang bernafsu memburu tambahan jaringan menyaksikan pemain tengah Lee Tuck menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-55 sebelum Baqiuddin memastikan tuan rumah meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas skuad bimbingan Akira Higashiyama.

Ia sudah tentu sedikit sebanyak memperbaiki motivasi dan keyakinan para pemain manakala penyokong-penyokong tok gajah pula pastinya mengharapkan momentum ini dapat dikekalkan dan menjadi titik kebangkitan pasukan kesayangan mereka apabila saingan liga kembali bersambung.

Apatah lagi jika dilihat kepada barisan pemain, mereka ada kekuatan untuk mencabar kelompok empat teratas.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.