Akhyar Rashid Cetus Fenomena, Selalunya Dibenci Kini Jadi Kesayangan Penyokong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas tampil dengan permainan memukau dan mengagumkan ketika menewaskan Kemboja dalam aksi pembukaan, nama Akhyar Rashid kini menjadi sebutan dan berkumandang di mana-mana.

Semua berbicara mengenai kelincahan dan keajaiban ditunjukkan pemain Johor Darul Takzim itu yang menamatkan permainan selaku Man of The Match, susulan kejayaan mendapatkan satu penalti, menjaringkan satu gol dan mencipta beberapa gerakan serangan berbahaya.

Secara tiba-tiba dia yang biasanya dibenci, dan selalu menjadi sasaran kritikan penyokong, malah pemilihannya ke Piala AFF juga hangat dipertikaikan, sudahpun mula disayangi penyokong.

Masih terlalu awal sebenarnya menghamburkan pujian tinggi menggunung, tetapi harapan penyokong ini menjadi pemangkin kepada Akhyar Rashid untuk terus menyerlah dalam perlawanan berikutnya menentang Laos, Vietnam dan Indonesia.

Mungkin tidak ramai yang sedar, jika Faisal Halim tidak dikuarantin kerana positif Covid-19, mungkin Akhyar sebenarnya tidak diturunkan dalam kesebelasan utama dan menunjukkan kebolehannya kepada kita semua.

Ini pula reaksi Akhyar Rashid selepas tamat perlawanan, dia gembira dapat membalas kepercayaan Tan Cheng Hoe dan berjanji akan tampil lebih baik untuk memastikan Harimau Malaya terus berada dalam landasan tepat memburu tiket ke separuh akhir.

“Syukur alhamdulillah untuk persembahan pasukan dan diri sendiri, apa yang penting kami telah buat terbaik dan beri 100 peratus seperti yang dikatakan jurulatih. Separuh masa pertama kami sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri tetapi berjaya mengatasinya di separuh masa kedua,” katanya.

Perlawanan di Stadium Bishan menyaksikan Malaysia membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi penalti disempurnakan Safawi Rasid, sebelum Akhyar menambah jaringan pada minit ke-62.

Pemain gantian, R.Kogileswaran melengkapkan gol ketiga pasukan tatkala Kemboja beroleh gol saguhati pada minit terakhir perlawanan menerusi sepakan penalti.

Skuad negara hadir ke pertandingan kali ini dengan sasaran untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut walaupun menjalani persiapan pra-pertandingan yang serba pincang, selain kehilangan beberapa pemain utama kerana kecederaan.


Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.