Akhyar Rashid Kena ‘Jampi’ Dengan Luqman Viral Di Media Sosial

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Akhyar Rashid secara tiba-tiba menjadi sensasi dalam kalangan penyokong Harimau Malaya apabila menyerlah ketika menewaskan Kemboja dalam aksi pembukaan Piala AFF 2020 di Singapura.

Dia kelihatan lincah dan berbahaya di posisi sayap kiri, berjaya mendapatkan penalti untuk gol pertama jaringan Safawi Rasid pada minit ke-23, dan di separuh masa kedua menjaringkan gol kedua negara setelah melakukan larian solo dan menggelecek pertahanan Kemboja.

Walaupun dikeluarkan pada minit ke-75, dia tetap dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan tersebut sekaligus membuatkan penyokong-penyokong yang selama ini mengecamnya turut memberikan pujian.

Malah, gelagat pemain itu bersama-sama Luqman Hakim Samsudin ketika meraikan jaringannya di luar padang pada minit ke-61 turut mencuri tumpuan penyokong.

Luqman mengucapkan tahniah kepada dengan caranya yang tersendiri dengan memegang kepala Akhyar dan kelihatan seperti ‘menjampi’ pemain itu, dan telatah lucu itu menjadi viral di media sosial.

Kemenangan pada Isnin meletakkan pasukan kebangsaan kini menerajui Kumpulan B dengan beza jaringan mengatasi Vietnam yang turut membuka tirai kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Laos.

Aksi seterusnya Malaysia akan menentang Laos pada 9 Disember dan Akhyar diharap akan meneruskan prestasi cemerlang ini sekaligus menutup ketiadaan Faisal Halim yang terpaksa dikuarantin kerana positif Covid-19.

Pemilihan Akhyar Rashid dalam skuad Piala AFF pada hakikatnya dikritik ramai dan tidak disenangi penyokong memandangkan dia sekadar memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Takzim, malah sebagai gantian pun jarang diturunkan.

Ini menyebabkan penyokong melabelnya sebagai anak emas Tan Cheng Hoe bersama-sama Guilherme De Paula. Tatkala Akhyar berjaya membalas kepercayaan yang diberikan, De Paula pula terus longlai dan sekali lagi menjadi sasaran kecaman.

Malah, ketika menentang Kemboja, hanya selepas De Paula dikeluarkan, perlawanan menjadi bertambah rancak bagi kem negara, tidak sampai beberapa minit dia keluar Harimau Malaya berjaya mendapatkan jaringan ketiga.

Sudah pasti, penyokong ketika ini berharap Akhyar akan kekal dalam kesebelasan utama dan tampil lebih baik, manakala De Paula pula bolehlah berehat dan melihat rakan-rakan yang lain bermain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.