Akram Mahinan : “Bukan bidang kuasa kita untuk tentukan halal atau haram”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah KL City FC, Akram Mahinan meminta orang ramai supaya tidak takut untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan menggesa agar mereka segera membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera.

Dia yang telah melengkapkan dos kedua suntikan vaksin Pfizer pada 10 Mei lalu berkata ia penting bagi memastikan impian untuk hidup dalam keadaan normal sebelum terjadinya wabak COVID-19 mampu jadi kenyataan.

“Jangan takut untuk ambil vaksin, jika kita tidak ambil dan bersikap ambil ringan, ia seolah-olah kita bersikap mementingkan diri sendiri serta tidak mempedulikan keselamatan orang lain terutama orang tersayang.

“Benda ini adalah wabak, janganlah kita fikir sampai perkara yang bukan bidang kita seperti contoh adakah benda ini halal atau haram sedangkan ulama sudah memperkatakan pengambilan vaksin adalah harus.

“Kajian juga sudah membuktikan suntikan vaksin ini boleh mengurangkan jangkitan dan kalau masih ada yang masih tidak percaya, saya rasa mereka tidak memikirkan masa depan kita bersama.

“Semua orang mahu hidup seperti dahulu, baharu sahaja dapat bebas, kita terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi malah kali ini dikenakan sekatan penuh, kesian kepada mereka yang terkesan daripada sudut ekonomi.

“Jika anda sudah daftarkan diri untuk vaksin, bantu ahli keluarga dan kawan-kawan lain yang belum buat serta beri kesedaran kepada mereka betapa pentingnya pengambilan vaksin ini,” kata Akram Mahinan.

Pemain sayap Terengganu FC, Mohd Faisal Abdul Halim, turut berkongsi nada sama apabila menyeru agar semua individu mengambil vaksin agar sama-sama dapat melindungi ahli keluarga dan orang tersayang.

Dia juga menyelar sikap segelintir pihak yang gemar menyebarkan berita yang tidak sahih seperti kematian yang dikaitkan ekoran suntikan vaksin sekali gus mengundang rasa takut dalam kalangan masyarakat.

“Vaksin ini adalah senjata terbaik buat diri kita lindungi daripada terkena COVID-19 dan paling penting ahli keluarga kita terutama ibu bapa yang mungkin sudah lanjut daripada segi usia, mereka ini antara golongan risiko tinggi.

“Memang suntikan vaksin tidak menjanjikan 100 peratus kita tidak akan dijangkiti cuma risiko itu akan kurang dan perlu diingat sudah hampir dua tahun kita hidup begini, sampai bila perkara ini berterusan?

“Saya juga berharap mereka di luar sana yang gemar berkongsi cerita tidak sahih mengenai pengambilan vaksin, hentikanlah…situasi itu mampu menjadikan orang ramai lagi takut untuk mengambil vaksin terutama yang mereka kurang pendedahan akan perkara sebegini, ” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Sabah, Muhammad Azzizan Nordin, yang baharu sahaja mengambil vaksin Pfizer, turut menasihatkan semua peminat serta rakyat Malaysia untuk memberikan kerjasama dalam pengambilan vaksin.

“Saya rasa lega selepas sudah suntikan vaksin kerana sekurang-kurangnya risiko untuk dijangkiti agak rendah, jadi saya harap yang lain juga boleh berbuat demikian.

“Jangan bimbang dengan kesan jangka pendek seperti demam atau tangan sakit sedikit kerana bukan semua orang mengalaminya, apa yang penting adalah kesan jangka panjang yang kita perlu lihat di sini, ” katanya.

Foto kredit : ASEAN Football

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.