Akram Mahinan Masih Menjadi Sasaran Kecaman Walaupun 3 Tahun Sudah Berlalu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang tengah Harimau Malaya, Akram Mahinan mendedahkan dia masih menjadi sasaran kecaman dan kritikan penyokong yang tidak berpuas hati dengan kekalahan Malaysia kepada Vietnam dalam aksi final Piala AFF 2018.

Pemain KL City itu sedar sebagai seorang pemain bolasepak, dia tidak boleh lari dari berdepan situasi sebegitu, tetapi apa yang lebih mengecewakan, keluarganya turut menjadi mangsa penyokong melepaskan geram.

“Saya tidak kisah kalau netizen nak kutuk saya, sebab yang main dan beraksi atas padang saya tapi sangat keterlaluan bila melibatkan keluarga, itu saya tidak boleh terima.

“Memang bila memilih karier ini, saya dan pemain lain sudah bersedia berdepan situa­si (kecaman dan kritikan) dan ia cabaran buat kami. Ada yang masih menghantar mesej kepada saya walaupun Piala AFF 2018 sudah berlalu.

“Saya maafkan mereka tapi jangan sesekali libatkan keluarga,” katanya kepada Utusan ­Malaysia.

Pemain berusia 28 tahun ini merupakan sandaran utama Tan Cheng Hoe ketika Piala AFF 2018 yang mana Malaysia muncul naib juara setelah tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Dia berada di dalam skuad ketika bermula pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 namun disisihkan Tan Cheng Hoe dalam baki aksi pada Jun lalu.

Akram Mahinan bagaimanapun kembali disenaraikan ke dalam skuad Harimau Malaya dalam panggilan terbaru untuk dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan bulan ini.

Malaysia tewas kedua-dua aksi, 0-4 kepada Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan tatkala Cheng Hoe sedang dalam proses membina skuad terkuat untuk beraksi di Piala AFF Disember nanti.

Sebagai rekod, musim ini adalah musim kedua Akram Mahinan menyarung jersi KL City dan dia telah beraksi cemerlang untuk membantu skuad Bojan Hodak menamatkan saingan Liga Super di kedudukan enam terbaik – pencapaian terbaik pasukan itu dalam tempoh tiga dekad.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.